Ahli politik sengaja cetus provokasi kaum boleh didakwa

Halimah
Halimah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana individu termasuk ahli politik yang sengaja mencetuskan provokasi dan perbalahan kaum akan dikenakan tindakan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, individu terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan di bawah Akta 574 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tidak kira siapa, ahli politik dan sesiapa pun sekiranya mencetuskan provokasi boleh disiasat.

“Walaupun begitu, pihak kementerian (Kementerian Perpaduan Negara) tetap mahu menggunakan kaedah yang lebih menyemarakkan suasana perpaduan itu tanpa mendidik masyarakat melalui perundangan yang ada.

“Maka kerana itu kita juga akan mempromosikan, menggalakkan lagi kaedah-kaedah mediasi komuniti dan sebagainya untuk menangani segala pertelingkahan, pertikaian, persengketaan yang ada dalam komuniti dan sebagainya,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap pemimpin yang mencetuskan perbalahan antara kaum.

Dalam soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai pendidikan sivik dalam silibus pelajaran, Halimah berkata, pihak kementerian dalam usaha memasukkan pendidikan Rukun Negara dalam sistem pendidikan.

Menurutnya, usaha tersebut dilakukan sempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau dulu kita ada pendidikan sivik, masa saya dulu ada pendidikan Tata Negara.

“Kita nak masukkan balik supaya dapat dipertimbangkan terutama daripada Kementerian Pendidikan untuk kita serapkan pendidikan Rukun Negara ke sistem pendidikan melalui sekolah-sekolah rendah dan menengah dan aktiviti Sekretariat Rukun Negara bersama pihak kementerian Pengajian Tinggi.

“Apa pun masyarakat Malaysia perlu dididik untuk memahami menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.