Parti Bashar menang pilihan raya Parlimen Syria

Seorang wanita mengundi pada pilihan raya Parlimen di kawasan kejiranan Nubl, Aleppo pada 19 Julai lalu. Potret Presiden Syria, Bashar Al-Assad diletakkan pada dinding berhampiran peti undi. - Foto AFP
Seorang wanita mengundi pada pilihan raya Parlimen di kawasan kejiranan Nubl, Aleppo pada 19 Julai lalu. Potret Presiden Syria, Bashar Al-Assad diletakkan pada dinding berhampiran peti undi. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Parti pemerintah Baath Syria dan sekutunya memenangi majoriti dalam pilihan raya Parlimen di kawasan negara itu yang dikuasai kerajaan, menurut satu keputusan semalam.

Dalam satu kemenangan yang dijangka tetapi dianggap sebagai sandiwara, parti Bashar al-Assad dan calon-calon sekutunya dalam kerajaan perpaduan memenangi 177 daripada 250 kerusi yang dipertandingkan.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 33 peratus turun daripada 55 peratus pada tahun 2016, kata Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Syria, Samer Zamreeq.

Pilihan raya itu diadakan selepas kerajaan Damsyik menguasai sejumlah kawasan yang sebelum ini kalah dalam permulaan perang di negara tersebut ketika ia menghadapi sekatan antarabangsa dan kemusnahan ekonomi.

Seorang ahli perniagaan, Hussam Qatirji adalah antara individu memenangi kerusi itu dan menghadapi sekatan daripada Kesatuan Eropah (EU).

EU mendakwanya menyokong militia pro-kerajaan dan menyediakan kemudahan perdagangan senjata, peluru dan minyak antara rejim Syria dengan pelbagai pihak termasuk kumpulan jihad, Negara Islam.

Lebih 7,000 pusat mengundi dibuka di kawasan dikuasai kerajaan di seluruh Syria Ahad lalu, lapor media pemerintah, termasuk di kubu kuat pembangkang buat pertama kali.

Bagaimanapun, berjuta-juta penduduk Syria yang meninggalkan negara itu akibat peperangan tidak layak mengundi.

Artikel Berkaitan:

Selepas sembilan tahun peperangan berlaku, seramai 380,000 orang terbunuh dan memaksa separuh daripada penduduknya meninggalkan rumah masing-masing. - AFP