PPZ-MAIWP terus bantu B40 terjejas

Zulkifli (kiri) menyerahkan surat sumbangan kepada penerima, Hatiah Saari, 41, di Jalan Kampung Pandan Kuala Lumpur kelmarin.
Zulkifli (kiri) menyerahkan surat sumbangan kepada penerima, Hatiah Saari, 41, di Jalan Kampung Pandan Kuala Lumpur kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meneruskan saluran bantuan kepada golongan B40 dengan melancarkan program Usrah Saeedah Khaira PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program itu adalah bantuan tambahan buat mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, program tersebut akan berlangsung selama lima bulan hingga Disember ini dengan sasaran bantuan kepada 10 kes.

“Sebanyak RM100,000 hasil daripada dana wakalah dan syarikat kolaboratif diperuntukkan dalam program itu.

“Mereka yang layak akan dibantu secara one-off berbentuk keperluan asasi seisi rumah seperti perubatan, peralatan rumah, kenderaan, baik pulih, menyediakan rumah baharu, pekerjaan dan lain-lain keperluan,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Zulkifli (tiga dari kiri) beramah mesra bersama keluarga penerima sumbangan, Hatiah Saari, 41, di Jalan Kampung Pandan Kuala Lumpur kelmarin.
Zulkifli (tiga dari kiri) beramah mesra bersama keluarga penerima sumbangan, Hatiah Saari, 41, di Jalan Kampung Pandan Kuala Lumpur kelmarin.

Katanya, program menerusi tanggungjawab sosial korporat itu adalah bantuan yang dianggap menyeluruh kepada isi keluarga.

“Semoga apa yang kita lakukan ini dapat memberikan keselesaan kepada mereka yang memerlukan supaya dapat merasai kehidupan sama seperti orang lain.

Artikel Berkaitan:

“Program ini juga adalah bantuan yang dilakukan secara berpasukan buat mana-mana pihak yang tampil mahu berkolaboratif,” katanya.

Terdahulu, pelancaran program Usrah Saeedah Khaira PPZ disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang diadakan di sebuah rumah penerima sumbangan di Jalan Kampung Pandan Kuala Lumpur kelmarin.