Rukun Negara sekadar hafalan

Syahredzan pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku di Karagkraf, Shah Alam semalam. - Foto Asril Aswandi Shukor
Syahredzan pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku di Karagkraf, Shah Alam semalam. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tahap penghayatan terhadap Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat masih di tahap tidak memuaskan.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, perkara itu berlaku kerana Rukun Negara ini tidak dihayati dan difahami, sebaliknya hanya menjadi rutin bacaan semata-mata.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila ada yang cuba menjadikan Rukun Negara sebagai 'peng-tahfizan' iaitu menghafal sahaja.

"Sayangnya makna isi kandungan Rukun Negara itu tidak disebarkan atau dimaklumkan kepada rakyat atau masyarakat.

"Jadi jangan terperanjat jika pada masa ini, kesedaran dan penghayatan orang ramai terhadap Rukun Negara hanya setakat berada di belakang kulit buku sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.

Turut menjadi panel pada program itu Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, Darshinee Suresh Kumar serta moderator, Azlan Shah Nabees Khan.

Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dalam tempoh 50 tahun kewujudan Rukun Negara banyak yang kerajaan masih belum sempat lakukan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun saya berharap pada masa depan semua pihak dapat memperkasakan pemahaman tentang Rukun Negara ini," katanya.

Katanya, sewaktu kerajaan terdahulu, melalui inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terdapat Sekolah Rukun Negara yang diwujudkan, di mana anak-anak muda dari seluruh negara ini dikumpulkan dan kemudiannya mereka ini diterangkan dan diterapkan dengan nilai-nilai Rukun Negara.

"Sekarang saya tak pasti apa jadi dengan sekolah itu tetapi berharap perkara seperti itu dapat diteruskan oleh kerajaan baharu supaya dapat memastikan mereka yang datang ke Sekolah Rukun Negara dapat pemahaman dan penghayatan sebenar Rukun Negara itu.

"Selain itu, di sekolah-sekolah juga mungkin tak boleh diadakan subjek khusus tentang Rukun Negara tetapi boleh diwujudkan beberapa sesi untuk kita fahamkan anak-anak supaya bila mereka dewasa nanti dapat jadi rakyat Malaysia yang boleh bawa asas-asas Rukun Negara dalam kehidupan mereka," katanya.