Tiada kes Covid-19 di Dungun

Dr Nor Azimi Yunus
Dr Nor Azimi Yunus
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan tiada kes koronavirus (Covid-19) dilaporkan di Kampung Padang Jambu, Dungun sebagaimana yang ditularkan dalam media sosial.

Bagaimanapun Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata, Pejabat Kesihatan Dungun ada menerima notifikasi seorang remaja perempuan yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) pada 19 Julai 2020.

Menurutnya, Ujian PCR (Polymerase Chain Reaction) bagi pengesanan Covid-19 dijalankan terhadap remaja itu dan hasil keputusan yang diperolehi semalam adalah negatif.

“Remaja itu diberikan rawatan dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemantauan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, pihaknya menghargai keprihatinan masyarakat dalam mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19 di Terengganu.

"Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan berita daripada sumber yang sahih dan betul sebelum menyebarkannya supaya tidak menimbulkan kegusaran dan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Segenap lapisan masyarakat juga digesa untuk meningkatkan kawalan kendiri serta tidak merasa selesa dan alpa terdapat risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti,” katanya.

Semalam, tular dalam media sosial apabila seorang pelayar Facebook memuat naik status bahawa terdapat satu kes Covid-19 di Dungun.

Artikel Berkaitan:

Terengganu mempunyai tiga kes aktif Covid-19 di Kemaman iaitu satu kes import yang pulang dari Nigeria pada 16 Julai dan dua kes penularan tempatan sehari selepas itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 negeri ini adalah 114 kes.