'Rukun Negara bergerak satu tayar sahaja'

Shamsul Amri Baharuddin pada Wacana Siri ke-181 bertajuk 'Rukun Negara sekadar di kulit buku?'. - Foto Asril Aswandi Shukor
Shamsul Amri Baharuddin pada Wacana Siri ke-181 bertajuk 'Rukun Negara sekadar di kulit buku?'. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Pengajaran di sekolah yang hanya menekankan lima prinsip Rukun Negara tanpa menekankan tentang mukadimah yang mendukung lima prinsip itu menyebabkan ia gagal dihayati sepenuhnya oleh rakyat.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, keadaan itu seperti analogi menunggang basikal dengan hanya satu tayar.

"Ini berlaku kepada Rukun Negara, Rukun Negara bergerak pada satu tayar sahaja jadi budak-budak (pelajar) tak faham.

"Ikrar pagi-pagi pun ambil yang lima (prinsip) sahaja. Rukun Negara bukan yang lima itu sahaja kerana ada perkara yang mendukung lima prinsip itu lebih awal," katanya pada Wacana Sinar ke-181 bertajuk Rukun Negara Sekadar di Kulit Buku yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.

Wacana itu turut membariskan panelis Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan dan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, Dharshinee Suresh Kumar serta Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Shamsul Amri berkata, mukadimah Rukun Negara adalah jiwa kepada Rukun Negara secara keseluruhannya, namun apabila hanya lima prinsip ditekankan ia boleh menimbulkan salah faham.

"Akibat terlalu fokus terhadap prinsip itu menyebabkan wujudnya usaha mentahfizkannya iaitu menetapkan pelajar mesti fasih dan lancar lima prinsip tersebut. Pada saya itu bukan niatnya, hasrat asal adalah untuk memahami dan mengetahui tentang Rukun Negara.

"Pada saya apa yang penting sekarang adalah kebijaksanaan pimpinan kita dan orang ramai untuk menerima Rukun Negara serta serapkan dan jadikan ia dalam bentuk baharu untuk sama-sama mengingatkan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau meminta teks asal Rukun Negara yang mengandungi dua bahagian iaitu mukadimah dan prinsip perlu diteliti kerana ia merangkumi semua perkara seperti perpaduan, demokrasi, ekonomi dan sebagainya.

"Pentaksiran semula tentang Rukun Negara mestilah lengkap, ada mukadimah yang menjadi jiwa kepada Rukun Negara ini dan prinsipnya.

"Kalau kita bermula dari situ, kita akan dapat jalan macam mana nak buka ruang berbincang dan cari jalan baharu (agar Rukun Negara benar-benar dihayati) dengan kehidupan normal baharu sekarang," katanya.