X

Kindly register in order to view this article
!

Impian Sarawakku Sayang

Pelbagai sambutan membabitkan pelbagai kaum di Sarawak. Gambar Kecil: Awang Mohd Najib
A
A

BAGI kebanyakan dari kita, tarikh 22 Julai mungkin adalah hari biasa. Namun tarikh keramat ini sebenarnya mempunyai nilai sejarah istimewa kepada negeri Sarawak.

Pada 22 Julai 1963, negeri yang terbesar di Malaysia ini telah mendapat status ‘berkerajaan sendiri’ daripada empayar British. Status ini telah diberikan bagi memberi persediaan kepada negeri Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia selepas laporan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan majoriti penduduk Sarawak bersetuju menyertai pembentukan negara baru itu.

Pada tarikh yang sama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama dan pewartaan Majlis Tertinggi baharu oleh Gabenor Sir Alexander Waddel. Pada tarikh tersebut juga, selain pelantikan Ketua Menteri Sarawak pertama, Jawatankuasa Tertinggi atau Kabinet negeri turut dibentuk.

Kesemua watikah dianugerahkan oleh Waddell yang masih merupakan kolonial yang memegang jawatan Gabenor Sarawak. Beliau merupakan Gabenor British terakhir di Sarawak.

Namun, tarikh 22 Julai ini terus didebatkan oleh ramai pihak sama ada tarikh ini adalah tarikh sebenar Sarawak mencapai kemerdekaan atau sebaliknya. Ini kerana sambutan 22 Julai ini hanya bermula pada 2016 lalu. Kenapa ianya tidak disambut sejak 1964?

Tarikh kemasukan Sarawak ke dalam Malaysia pada 16 September 1963 lebih diiktiraf dan disambut sebagai Hari Malaysia setiap tahun.

Sebelum itu, tarikh 22 Julai sebenarnya tidak lebih daripada satu simbolik kerana Gabenor British terakhir keluar dari bangunan Astana dan menyeberangi Sungai Sarawak bagi menyerahkan pentadbiran kepada anak tempatan dan bendera Union Jack diturunkan.

Prof Michael Leigh, menerusi kajiannya tentang politik Sarawak, The Rising Moon, dan telah mulai menyelidik sejarah dan politik Sarawak sejak 1962, mendedahkan bahawa tarikh tersebut ialah hari Kabinet Sarawak atau Kabinet perikatan dibentuk.

Pernah menjawat jawatan pengarah Institut Kajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) (1997-2003), Leigh menyatakan bahawa kenyataan Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963 adalah suatu fakta yang kurang tepat.

Leigh yang banyak menggunakan dokumen di Australia dan London dalam penyelidikannya turut menekankan bahawa tarikh tersebut merupakan tarikh kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk, dan bukan hari kemerdekaan.

“Sarawak diberi hak mentadbir sendiri pada 31 Ogos 1963, dan mentadbir sendiri hingga 16 September (1963). Ia berdasarkan hakikat gabenor British setuju untuk menerima nasihat Kabinet Sarawak yang dibentuk pada Julai (1963).

Bagaimanapun, kolonial British masih berkuasa di Sarawak sehinggalah pada 15 September 1963.

Bermula dari detik itu, akhirnya rakyat Sarawak mampu membentuk dan mencorak masa depan sendiri selepas ditadbir oleh kolonial British bermula dari Rajah Putih pertama, James Brooke pada tahun 1841.

Geopolitik Sarawak

Hari ini, geopolitik Sarawak amat menarik untuk diikuti. Setelah sekian lama parti pemerintah di negeri itu bersama dengan Barisan Nasional (BN), hari ini mereka telah membentuk pakatan tersendiri iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 12 Jun 2018 selepas BN tumbang di Putrajaya.

GPS terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Ramai menyedari walaupun GPS membentuk pakatan sendiri, tetapi sebenarnya mereka amat mesra kepada BN. GPS memilih untuk tidak membentuk kerajaan Pusat dengan Pakatan Harapan (PH) ketika mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.

Sarawak kekal menjadi negeri pembangkang yang terbesar di Malaysia.

Sekarang apabila Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi kerajaan, GPS dengan pantas memilih untuk bersama membentuk kerajaan di Putrajaya. Kenapa Sarawak tidak bersama PH walaupun mempunyai peluang dahulu?

Pada 29 Februari lalu, Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing mendedahkan GPS tidak akan memberi sokongan kepada pakatan yang mempunyai DAP di dalamnya.

Katanya, tindakan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun nyata mendatangkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Sarawak.

“Kenyataan tersebut dilihat sangat tidak bertanggungjawab dan ini menunjukkan keangkuhan mereka,” katanya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga pernah mengeluarkan kenyataan tegas bahawa GPS tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Katanya, DAP dilihat berniat tidak baik selain tindakan parti itu ke atas Sarawak sebelum ini meninggalkan kesan mendalam yang tidak akan dapat dilupakannya.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa terdapat rakyat negeri itu menolak tindakan GPS bekerjasama dengan UMNO dan Pas di dalam PN.

Menurutnya, tindakan GPS bekerjasama dengan dua parti itu yang ditolak majoriti penduduk Sarawak mengkhianati janji dan laungan sebelum ini yang tidak mahu bekerjasama dengan parti dari Semenanjung.

“Kita bermati-matian memperjuangkan hak rakyat menolak kerajaan kleptrokasi di bawah BN, tetapi GPS tetap mahu menerima mereka kembali.

“GPS cuba menafikan tidak mahu bekerjasama dengan PN iaitu UMNO, pecahan Bersatu dan PKR termasuk MCA dan MIC tetapi adalah jelas mereka adalah kawan lama sebelum ini dalam kerajaan.

“Tetapi sebaik PH berjaya menjadi kerajaan Pusat, GPS mengambil langkah keluar daripada BN dan membentuk blok sendiri atas alasan tidak mahu bersekongkol dengan Umno,” tegas Chong.

Apapun, politik di Sarawak adalah berlainan dari Semenanjung disebabkan faktor sejarah dan komposisi penduduknya. Paling nyata, GPS sekarang adalah ‘King Maker’ di Parlimen. Jika GPS mahu menukar sokongannya kepada pakatan politik yang lain, maka merekalah menjadi kerajaan Pusat.

Di sini kedua-dua PN dan PH perlu pandai memujuk pemimpin di sana.

Selain itu, terdapat satu gerakan yang bernama Sarawak for Sarawakian atau dikenali juga sebagai S4S. Gerakan ini semakin mendapat momentum di negeri itu kerana mereka mahu menuntut status Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 ketika Malaysia dibentuk 57 tahun lalu.

Ibu negara Indonesia

Pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan, mungkin membuka lebih banyak penerbangan terus antarabangsa dan seterusnya meningkatkan ketibaan pelancong di dua negeri Malaysia di Pulau Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Walaupun pemindahan ibu negara Indonesia ini tidak memberi impak yang terus dalam jangka pendek kepada Malaysia, sedikit sebanyak ia tetap memberi manfaat kepada Malaysia jika dilihat dalam jangka masa yang lebih panjang.

Abang Johari turut mengalu-alukan keputusan Jakarta yang mahu memindahkan ibu negara mereka ke Kalimantan terutamanya pembangunan dari segi infrastruktur dan ekonomi.

"Oleh kerana kita (Sarawak) berhampiran dengan mereka, sudah tentu membantu dari segi membekalkan tenaga elektrik sekiranya mahu dan ini akan memberi keuntungan kepada ekonomi kita.

"Pada masa kini pun kita menjalin kerjasama erat dengan Kalimantan Barat untuk tujuan mengeksport tenaga elektrik ke kawasan itu," katanya.

Jadi, jika perancangan pembangunan dibuat dengan tepat, sudah pasti masa depan Sarawak cerah dan rakyatnya akan dapat limpahan ekonomi yang menguntungkan.

*Awang Mohd Najib ialah aktivis belia dan politik Sarawak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!