Hormati keputusan rakyat beri mandat kepada PH

Abu Bakar Yahya
Abu Bakar Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pihak diharap tidak cuba membelakangi keputusan rakyat dengan mendesak supaya Parlimen dibubarkan.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya susulan daripada desakan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang menuntut perkara itu dilakukan.

Tegas beliau, desakan sedemikian dilihat hanya bermotifkan politik yang mungkin bermatlamat untuk memesongkan pemikiran rakyat terutamanya dalam saat-saat akhir kempen PRK Parlimen Cameron Highlands ketika ini.

"Apakah Perkasa ini mewakili sebuah NGO bercakap bagi pihak rakyat atau mewakili sebuah parti politik dengan mendesak Parlimen dibubarkan? Saya dimaklumkan ada pemimpin tertinggi Perkasa turun berkempen di Cameron Highlands bagi pihak BN.

"Bagi saya, desakan Perkasa ini tidak ada asas, hanya mahu meraih undi sahaja," katanya di sini hari ini.

Abu Bakar berkata demikian sebagai mengulas laporan protal berita sebuah portal hari ini yang memetik kenyataan Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif yang mendesak Parlimen dibubarkan atas alasan kedudukan kerajaan ketika ini didakwa tidak stabil dan bercelaru.

Malah, kerajaan ketika ini katanya tidak kuat walaupun mendapat lebih 50 peratus kerusi di dalam Parlimen tetapi dipimpin oleh parti yang mempunyai sekadar 12 kerusi (Bersatu).

Dalam pada itu, Abu Bakar menegaskan kerajaan yang ada pada hari ini dipilih secara sah oleh rakyat setiap lima tahun sekali mengikut prinsip demokrasi berparlimen.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan yang ada sekarang ini dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih berasaskan pemuafakatan yang ada dalam Pakatan Harapan.

"Tidak ada kecelaruan dalam kerajaan hari ini, tetapi yang celarunya ialah hutang negara yang ditinggalkan oleh BN pada pentadbiran lalu," ujarnya.