X

Kindly register in order to view this article
!

Pelancongan domestik kembali bernafas

Cameron Highlands menjadi antara lokasi wajib bagi mereka yang ingin bercuti. - Foto 123RF
A
A

SEKTOR pelancongan domestik menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila ia mula dibuka semula selepas lebih tiga bulan lumpuh akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Malaysia sebenarnya masih kaya dengan pelbagai khazanah dan warisan produk pelancongan serta pelbagai lokasi menarik yang boleh dilawati dan dikunjungi.

Kita boleh mencari tempat percutian di mana sahaja yang diinginkan mengikut bajet yang ada, sama ada menaiki feri untuk ke Pulau Langkawi, merasai kesejukan dan keindahan alam flora dan fauna di Gunung Jerai, Kedah dan Fraser Hills, Pahang ataupun menjamu mata melihat sinaran lampu warna-warni di Pintasan Saloma, Kuala Lumpur.

Begitu juga jika mahu menikmati keindahan pulau peranginan yang mampu menggoncang keterujaan, mengelilingi tapak bersejarah dengan menaiki beca dihiasi watak kartun di Melaka mahupun melihat bunga segar dan merasai cuaca dingin serta nyaman di Cameron Highlands, Pahang.

Semua itu boleh kita lakukan, kita jejaki dan kita lawati tanpa ada sekatan sempadan dan mungkin ada pun hanya sedikit kesesakan aliran trafik yang akan ditempuh seperti di Jalan Bendahara, Melaka menghala ke pusat bandar ataupun jalan dari Brinchang menghala ke Tanah Rata, Cameron Highlands, tidak ketinggalan juga di Pekan Kuah, Langkawi.

Suasana itu membuktikan bahawa kita tidak perlu berbelanja mewah atau membeli tiket ke luar negara, menolak bagasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menikmati percutian kerana dalam negara banyak lokasi boleh dikunjungi sama ada di utara, pantai timur Semenanjung, selatan mahupun Sabah dan Sarawak.

Prosedur

Sejak akhir-akhir ini, sektor pelancongan domestik dilonjakkan lagi dengan pelbagai tawaran penginapan menarik dan potongan harga berpatutan oleh pemain industri pelancongan dalam usaha merancakkan semula ekonomi sekali gus dianggap sebagai bonus kepada rakyat yang sebelum ini dipenjara tanpa rela sejak awal Mac lalu.

Kelonggaran diberikan kerajaan membolehkan kita keluar daripada kepompong tekanan dengan mencipta memori terindah bersama keluarga mahupun insan tersayang dengan menikmati percutian menarik di negara sendiri.

Tetapi kelonggaran yang diberikan bukanlah menjadi tiket buat masyarakat mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengabaikan penjarakan sosial.

Apa yang membimbangkan adalah apabila melihat orang ramai sanggup berhimpit-himpit di tempat sempit contohnya suasana di Jeti Kuala Perlis, dan tidak kurang juga keadaan di Kea Farm, Cameron Highlands mahupun Jonker Walk, Melaka lebih-lebih lagi pada hujung hujung minggu sedangkan SOP berkaitan sering ditekankan.

Sewajarnya masyarakat mempunyai sikap kawalan kendiri yang tinggi untuk menikmati percutian dalam suasana normal baharu tanpa sekelumit rasa pentingkan diri dan berasa selesa kerana musuh yang tidak dapat dilihat itu belum bernoktah.

Dalam kegembiraan dan keasyikan menikmati percutian selepas berjaya lari daripada kesibukan kota dan bebanan tugas, kita sebagai khalifah ALLAH SWT sewajarnya tidak lupa menjadikan percutian itu sebagai medium tadabur alam.

Hijaunya gunung, birunya laut, putihnya awan menunjukkan keistimewaan ciptaan Maha Esa. Sudah tentu suasana itu akan menjadi ole-ole kenang-kenangan untuk kita bawa pulang.

Dalam mood percutian juga, kita harus menerapkan mentaliti menjaga kebersihan tanggungjawab bersama termasuk tidak membuang pelitup muka dan sampah sarap di merata tempat ke arah menjadi rakyat kelas pertama.

Alangkah ruginya tempat pelancongan yang cantik dan menarik berubah wajah dek kerana sikap lalai manusia yang tidak meletakkan diri sebagai khalifah untuk menjaga bumi.

Ingatlah anak-anak kecil yang masih jauh perjalanan, yang baru mengenal dunia dan belum habis menerokai segalanya: jangan terperangkap dalam suasana yang mencacatkan pemandangan hingga tidak lagi berupaya menikmati percutian domestik yang menarik.

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!