Penilaian Kebodohan Perniagaan

PKP memberi kita peluang untuk menyemak kembali perjalanan syarikat. - Foto sumber internet
PKP memberi kita peluang untuk menyemak kembali perjalanan syarikat. - Foto sumber internet
A
A
A

Sudah berbulan saya tidak bertemu dengan ‘Bos,’ panggilan saya kepada seorang otai (old timer) bisnes. Setelah bertanya khabar mengenai kesihatan masing-masing, perbualan beransur-ansur beralih mengenai bisnesnya. Seperti juga orang lain, perniagaan Bos turut terkesan dengan Covid-19.

Namun, Perintah Kawalan Pergerakan memberi beliau banyak waktu untuk meneliti keseluruhan perniagaannya. Jika sebelum ini beliau memberikan mandat kepada para pegawainya menguruskan perniagaan, tempoh PKP membolehkan beliau mengkaji prestasi anak-anak syarikatnya.

Selepas satu, satu lagi laporan prestasi syarikat dibaca dan dikajinya. Setiap kali itu jugalah bos menggeleng kerana terlalu banyak kesilapan-kesilapan keputusan perniagaan telah berlaku.

Apabila saya bertanya Bos, apakah rumusan yang dia peroleh daripada apa yang terjadi dengan syarikat-syarikatnya? Kata beliau ringkas, “PKP ini bukan sahaja bermakna Perintah Kawalan Pergerakan. Bagi saya, PKP juga adalah Penilaian Kebodohan Perniagaan. Banyak sangat SOP perniagaan diabaikan. Inilah kebodohan kerana kesilapan dilakukan berulang kali hingga tak sedar syarikat semakin rugi dan boleh tutup!”

Katanya, terdapat syarikat yang memberi sebut harga yang amat murah, kesilapan produksi, kelebihan pengeluaran daripada tempahan dan yang paling penting ialah kelemahan bahagian kutipan untuk mendapatkan hutang.

Bisnesnya tiada masalah mendapatkan pelanggan, tetapi berjalan tanpa piawaian dan kawalan.

Asas berniaga ialah memberi perkhidmatan atau jual produk dengan keuntungan. Pemasaran ialah menghebahkan perniagaan dengan kos minimum kepada seramai mungkin pelanggan. Sementara perakaunan pula merakam segala transaksi dari peringkat membekal kepada membuat kutipan serta mengawal selia perbelanjaan.

Perintah Kawalan Pergerakan yang memaksa kesemua ahli-ahli perniagaan untuk duduk di rumah dan menghadkan aktiviti perniagaan adalah reset yang amat baik.

Artikel Berkaitan:

Fokus yang utama ialah mengawal kos dengan menjimatkan perbelanjaan yang tidak perlu. Perkara pertama yang dapat dikurangkan ialah kos elektrik dan air pejabat bilamana pejabat tidak beroperasi.

Dari sudut tenaga manusia, staf boleh menjalankan tugas dari rumah. Perhubungan telefon serta internet berjalan lancar dan segala mesyuarat dapat diadakan secara talian.

Sebenarnya jika lebih separuh daripada kakitangan boleh bekerja di rumah, buat apa sewa pejabat besar yang memakan kos yang banyak? Pada hari ini, sudah terdapat perkhidmatan pejabat virtual. Jika hendak bermesyuarat dengan pelanggan pun boleh dengan disediakan segala peralatan canggih untuk persembahan slaid, komputer malah makan dan minum sekali.

Trend pada hari ini pun, rakan niaga pun bukan hendak lihat laman web yang cantik berseri yang kos membinanya memakan angka ribuan ringgit. Memadai mereka mengukur kehebatan syarikat kita melalui media sosial seperti Facebook untuk membuat penilaian sama ada perniagaan yang kita buat itu aktif dan interaktif.

Sesungguhnya PKP memberi kita peluang untuk menyemak kembali perjalanan syarikat. Zaman meleset umpama sungai yang kering. Semua sampah mula kelihatan apabila air sungai berhenti mengalir.

Penilaian kebodohan perniagaan harus diubah potensinya menjadi Penilaian Kebijaksanaan Perniagaan. Segala kesilapan berulang harus dihentikan dan semua syarikat patut mencontohi bagaimana pihak kerajaan mengendalikan peperangan dengan Covid-19 iaitu dengan melonggarkan setiap langkah secara berhati-hati apabila perniagaan semakin pulih.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian