Sukan SEA: Filipina jumpa bukti penggunaan bahan terlarang

Dr SS Cheema
Dr SS Cheema
A
A
A

JAWATANKUASA Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) telah menjumpai bukti penggunaan bahan terlarang dalam beberapa sampel daripada sejumlah 566 yang diuji semasa edisi ke-30 temasya itu.

Perkara itu didedahkan semasa mesyuarat maya Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema berkata, sejumlah 475 sampel air kencing dan 91 sampel darah telah diuji semasa temasya sukan dwitahunan yang berlangsung di Filipina dari 30 Nov hingga 11 Dis tahun lepas.

“Filipina berkata jumlah ujian lebih rendah susulan faktor seperti Taufan Kammuri, yang memaksa penganjur menjadualkan semula tarikh serta menukar venue pertandingan. Dilaporkan bahawa sesetengah daripadanya adalah Atypical Findings (ATF) dan Adverse Analytical Findings (AAF).

“Identiti atlet dan negara tidak didedahkan kerana mereka masih dalam proses memuktamadkan penemuan. Menurut kod Agensi Anti Doping Dunia (WADA), identiti terbabit perlu dirahsiakan sehingga proses itu selesai,” katanya kepada Bernama.

“Kami berharap mereka akan memuktamadkan proses itu secepat mungkin untuk membolehkan pingat dirampas daripada atlet yang menggunakan dadah dan diserahkan kepada pemenang yang layak. Ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017, kita telah meletakkan duluan dengan menyelesaikan pengurusan hasil dalam tempoh setahun, pertama kali dalam sejarah,” kata Dr Cheema yang juga anggota Jawatankuasa Perubatan Majlis Olimpik Asia (MOA).

AAF bermaksud laporan makmal yang menerima akreditasi WADA mengenal pasti kehadiran bahan terlarang (metabolit atau penanda) atau bukti penggunaan kaedah yang dilarang dalam sampel.

ATF pula merujuk kepada laporan makmal yang menerima akreditasi WADA yang memerlukan siasatan lanjut seperti yang ditetapkan oleh standard antarabangsa bagi makmal atau dokumen teknikal yang berkaitan sebelum penentuan sesuatu AAF.

Artikel Berkaitan:

PHISGOC turut melaporkan bahawa Sukan SEA 2019 berjalan tanpa sebarang kecederaan utama pada mesyuarat itu yang disusuli pembentangan daripada tuan rumah seterusnya, Vietnam berhubung rancangan perubatan serta anti dopingnya bagi edisi 2021.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sejumlah 799 sampel air kencing dan 32 sampel darah telah diuji, menyaksikan peningkatan berbanding 600 sampel air kencing yang diuji pada edisi 2015 di Singapura. - Bernama