FAM ambil alih Liga M3, Liga M4 mulai tahun depan

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-11 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-11 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) selaku badan pengendali saingan Liga M3 dan Liga M4 sah akan berada di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim depan.

Menerusi satu kenyataan FAM semalam, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-11 bagi penggal 2017-2021 hari ini.

“Disahkan keputusan Liga Bola sepak Malaysia (MFL) untuk menyerahkan AFL iaitu badan pengendali Liga M3 dan M4 kepada FAM,” kata FAM dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, mesyuarat Exco FAM itu sebulat suara juga meluluskan pelantikan empat Ahli Jawatankuasa Pemilihan FAM bagi penggal 2021-2025.

“Ia membabitkan pelantikan seorang pengerusi dan tiga pegawai berkecuali menganggotai jawatankuasa bebas berkenaan.

“Pelantikan bertujuan memastikan proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2021-2025 pada Kongres FAM 2021 dijalankan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak di dalam industri atau keluarga bola sepak Malaysia,” kata FAM.

Selain itu, mesyuarat Exco FAM turut meluluskan cadangan pindaan Statut FAM bagi memastikan statut peringkat ahli gabungan selari dengan FAM, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Pindaan Statut FAM ini turut mengambil kira konsep pemisahan antara Persatuan Bola Sepak (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC),” katanya.

Artikel Berkaitan: