X

Kindly register in order to view this article
!

Golongan elit di Rusia diberi vaksin eksperimen sejak April

Seorang saintis menyediakan sampel vaksin Covid-19 di Saint Petersburg, Rusia. - Foto Agensi
A
A

MOSCOW - Beberapa elit perniagaan dan politik Rusia didakwa telah diberi akses awal kepada vaksin eksperimen koronavirus (Covid-19) selepas negara itu menjadi antara yang pertama membangunkan inokulasi, lapor Bloomberg.

Menurut sumber, eksekutif tertinggi di syarikat-syarikat termasuk firma aluminium gergasi, United Co Rusal, jutawan dan pegawai pemerintah telah mula menerima suntikan yang dibangunkan oleh Institut Gamaleya di Moscow pada awal April.

Mereka bagaimanapun enggan dikenali kerana maklumat itu tidak diketahui umum.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan Pertama, Ruslan Tsalikov berkata, fasa kedua ujian yang melibatkan sekumpulan sukarelawan terdiri daripada anggota tentera yang bekerjasama dengan Institut Gamaleya dan Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) telah berakhir.

Fasa pertama ujian tamat minggu lalu meskipun institut tersebut belum menerbitkan hasil untuk kajian itu.

"Fasa ketiga ujian yang akan membabitkan ribuan rakyat Rusia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijadualkan bermula pada 3 Ogos dan pengedaran vaksin dapat dimulakan seawal September," kata ketua RDIF, Kirill Dmitriev minggu lalu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov yang telah pulih daripada Covid-19 selepas dimasukkan ke hospital pada Mei lalu berkata, dia tidak mengetahui identiti individu yang menerima suntikan vaksin tersebut.

Ketika ditanya adakah Presiden Vladimir Putin telah menerima suntikan vaksin, Peskov menjawab "Mungkin ia bukan idea yang baik untuk menggunakan vaksin yang tidak disahkan ketua negara."

Tambahnya, dia juga tidak tahu jika ada pegawai lain yang mencubanya.

Difahamkan, komen Peskov dibuat susulan kenyataan Kementerian Kesihatan yang menyatakan bahawa hanya sukarelawan dalam ujian Gamaleya layak mendapat suntikan. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!