Isu memancing, selesai secara rundingan: Exco Terengganu

Kawasan sekitar Terengganu Drawbridge menjadi antara lokasi kaki pancing. Gambar Kecil:Dr Azman Ibrahim
Kawasan sekitar Terengganu Drawbridge menjadi antara lokasi kaki pancing. Gambar Kecil:Dr Azman Ibrahim
A
A
A

MARANG - Isu larangan memancing di sekitar kawasan Terengganu Drawbridge perlu diselesaikan secara rundingan bagi membolehkan situasi menang-menang.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, sepatutnya sebarang isu berbangkit misalnya soal kebersihan perlu diselesaikan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, ia bagi memastikan penyelesaian secara menang-menang dan jika berlaku sebarang permasalahan, ia boleh ditangani dengan baik.

"Pada pandangan saya, sepatutnya ia tidak dibuat dalam bentuk larangan, sebaliknya menyelesaikan apa jua masalah berbangkit. Bagi saya, memancing di situ tidak ganggu laluan dan sebagainya, malah menjadi satu tarikan kepada orang ramai untuk memancing dan sebagainya.

"Mungkin kita boleh panggil pihak PBT untuk mendapatkan penjelasan. Saya belum dimaklumkan apa isu sebenarnya, cuma mendapat gambaran daripada media isu berkait sampah dan sebagainya. Kalau isunya sampah, ia tidaklah rumit sangat untuk diselesaikan isu itu.

"Saya tiada kuasa untuk mengadakan rundingan tetapi apabila disebut memancing, ia bersabit dengan ikan dan ikan dijaga oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu. Memancing sebenarnya tidak perlu lesen kerana ia termasuk dalam pelancongan rekreasi," katanya ketika ditemui di Bandar Marang di sini, hari ini.

Papan tanda larangan memancing yang tular dalam media sosial (Gambar tular)
Papan tanda larangan memancing yang tular dalam media sosial (Gambar tular)

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tular pemasangan papan tanda larangan memancing dan larangan menerbangkan dron di kawasan Drawbridge dalam media sosial sehingga mengundang reaksi orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pihak pengurusan Terengganu Drawbridge, TI Properties Sdn Bhd dalam satu kenyataan media hari ini berkata, larangan 'no fly zone' itu dikuatkuasakan untuk memastikan keselamatan bangunan dan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalizan Mahmud berkata, kegagalan mengawal drone boleh menyebabkan risiko melanggar cermin bangunan di mana 'skybridge' hampir keseluruhan terdiri daripada panel kaca yang boleh retak atau pecah jika ada impak dari drone.

"Berdasarkan kes terdahulu, terdapat beberapa unit dron yang telah terhempas di atas bumbung menara dan kawasan persekitaran jambatan.

"Selain dari itu, drone ini berisiko untuk melanggar dan tersangkut pada 'lightening arrestor', memberi gangguan kepada sistem frekuensi operasi, yang mana sistem bascule beroperasi menggunakan sistem gelombang frekuensi dan wifi serta mendatangkan bahaya kepada pengunjung dan pemandu jika terhempas," katanya.

Jelasnya, pengurusan Terengganu Drawbridge amat menghargai minat dan berterima kasih kepada penerbang dron yang memuat naik video rakaman penerbangan mereka di laman sosial, seterusnya membantu promosi dan memperluaskan informasi tentang Drawbridge kepada penduduk tempatan dan orang luar.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Terengganu Drawbridge juga terikat dengan peraturan yang telah diwartakan dalam Akta Penerbangan Awam 1969 dan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 iaitu setiap penerbang dron memerlukan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan aktiviti penerbangan.

"Antara langkah yang diambil untuk menjamin keselamatan persekitaran Drawbridge, pihak pengurusan telah menetapkan 'no fly zone' di sekitar kawasan Drawbridge bagi setiap penerbangan dron dengan mendapat kelulusan permit dari pihak berwajib.

"Bagi isu larangan memancing, kawasan larangan memancing yang dimaksudkan ialah di bawah jambatan dan kawasan R.O.W jambatan sahaja. Ini untuk memastikan kawasan ini bebas dari sisa-sisa umpan yang ditinggalkan oleh pemancing yang mencemarkan pemandangan dan bau busuk," katanya.