X

Kindly register in order to view this article
!

Kawan Yeop Jalong dipindahkan

Khidmat Abot dan Rambai digunakan untuk memujuk gajah liar dalam operasi pindah haiwan itu ke Hutan Simpan Royal Belum.
A
A

SUNGAI SIPUT - Salah seekor gajah yang terlepas dalam operasi pemindahan haiwan liar itu, pada 5 Julai lalu akhirnya berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Jalong di sini.

Operasi pemindahan melibatkan 21 pegawai dan anggota daripada Unit Tangkapan Gajah dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dilakukan selepas gajah jantan liar dianggarkan berusia 25 hingga 30 tahun itu ditangkap pada 14 Julai lalu.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, gajah seberat 2.6 tan itu dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Piah telah mengganggu tanaman pokok pisang dan kelapa sawit serta menghampiri rumah dan sekolah berhampiran.

AHMAD SAIDI
AHMAD SAIDI

"Ini merupakan tangkapan kedua dilakukan selepas Yeop Jalong berjaya dipindahkan oleh pihak Perhilitan dua minggu lalu di kawasan ini.

"Proses pemindahan itu menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai.

Jengkaut digunakan untuk menarik kenderaan pengangkut milik Jabatan Perhilitan yang tersangkut pada lumpur selepas gajah liar itu berjaya dinaikkan atas lori berkenaan.
Jengkaut digunakan untuk menarik kenderaan pengangkut milik Jabatan Perhilitan yang tersangkut pada lumpur selepas gajah liar itu berjaya dinaikkan atas lori berkenaan.

"Dua gajah denak ini berperanan mengiringi serta mengawal gajah liar itu untuk dibawa naik ke atas lori pengangkutan sebelum dibawa keluar dari kampung ini," katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah di Kampung Jalong di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff.

Operasi yang bermula pada jam 10. 30 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu turut mengalami cabaran apabila kenderaan pengangkut haiwan itu tersekat lumpur.

Jentera jengkaut digunakan bagi menarik kenderaan jabatan itu sebelum gajah liar itu dibawa untuk dilepaskan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik.

Pada masa sama, Ahmad Saidi turut menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menjalani aktiviti hutan terutama di kawasan habitat gajah liar.

"Ia termasuk pasukan yang menjalankan tugas-tugas keselamatan dan rondaan di dalam hutan, mereka perlu lebih berhati-hati kerana 'malang tidak berbau'.

"Makanan perlu dilupuskan atau ditutup seperti garam kerana makanan boleh menarik perhatian haiwan liar lain dan sekaligus boleh merisikokan keselamatan dan nyawa," katanya.

Beliau mengulas kejadian seorang sarjan tentera diserang gajah liar ketika melakukan tugasan rondaan di kawasan Hutan Royal Belum, kelmarin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!