Kluster Rumah Warga Emas: Bilik gerakan dibuka 24 jam

A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri membuka bilik gerakan di Pejabat Daerah Kluang bermula kelmarin bagi memantau situasi kes koronavirus (Covid-19) di daerah berkenaan.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, bilik gerakan itu beroperasi 24 jam sehari susulan sebuah kluster baharu dikesan di sebuah pusat jagaan warga emas di daerah itu.

"Penghuni di pusat jagaan warga emas berkenaan tidak dibenarkan keluar dan pelawat juga tidak dibenarkan untuk melawat.

"Ia bagi memastikan tiada penularan Covid-19 kepada masyarakat luar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan seramai 12 individu daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, pihak polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan membuat pemantauan berkala bagi meningkatkan keselamatan di kawasan pusat jagaan tersebut.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu dalam pengurusan pembelian keperluan harian setiap penghuni di pusat jagaan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: