X

Kindly register in order to view this article
!

'Nilai integriti polis benteng saya tolak rasuah'

Abd Jalil menyampaikan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2019 kepada Superintendan Kamarulzaman [email protected] Daud selaku ahli jawatankuasa Perumahan Pegawai Kanan Polis Alor Akar yang dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga kategori A, anugerah tersebut.
A
A

KUANTAN- "Nilai integriti yang dipegang sebagai anggota polis menjadi benteng untuk saya tidak terlibat dalam salah laku rasuah biarpun peluang untuk mendapatkan wang secara mudah 'terhidang', di depan mata.

"Sebelum tersilap langkah lebih baik jauhkan diri. Fikirkan nama baik diri, keluarga dan pasukan,"kata Koperal Mohamad Haffiez Harun,30.

Anggota dari Balai Polis Temerloh ini pernah disogok sejumlah wang oleh seorang warga asing supaya tidak mengambil tindakan kerana tidak menggunakan dokumen perjalanan tamat tempoh.

"Saya menolak malah menegur perbuatan lelaki warga asing tersebut namun teguran itu langsung tidak diendahkan sebaliknya dia terus bertindak demikian dengan harapan dapat dilepaskan daripada tindakan undang-undang.

"Malangnya, umpan rasuah itu tidak menjadi sebaliknya dia ditahan dan turut dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),"katanya.

Nilai integriti ditunjukkan anggota ini mendapat penghargaan pucuk pimpinan apabila tersenarai sebagai antara 10 penerima Sijil Penghargaan Tolak Rasuah sempena sempena Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan dan Anugerah Integriti Pasukan Polis Diraja Malaysia(PDRM) 2019 di sini hari ini.

Mohamad Haffiez berkata, sebagai anggota polis, dia diajar supaya menolak segala bentuk rasuah demi menjaga imej pasukan.

"Melalui penghargaan daripada pucuk pimpinan ini, saya rasa lebih semangat untuk jalankan tugas dengan penuh berintegriti," katanya.

Sementara itu, bagi Lans Koperal G Koogelawanan,29 dari Balai Polis Bukit Fraser, Raub, dia sentiasa mengutamakan nilai integriti ketika bertugas demi menjaga nama baik pasukan.

"Saya pernah berdepan situasi disogok oleh seorang warga Pakistan bagi mengelak diambil tindakan selepas menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar.

"Lelaki itu dibawa ke balai untuk tindakan lanjut namun ketika saman hendak dikeluarkan atas kesalahan dilakukan itu, dia tiba-tiba menghulurkan sejumlah wang dan minta tindakan tersebut tidak diteruskan,"katanya.

G Koogelawanan berkata, walaupun ditegur beberapa kali, lelaki itu masih terus dengan niatnya.

"Lelaki itu kemudian kita tahan dan diserahkan kepada pihak SPRM kerana kesalahan cuba rasuah penjawat awam," katanya.

Dia yang turut menerima Sijil Penghargaan Tolak Rasuah pada majlis itu berterima kasih kepada pucuk pimpinan atas penghargaan yang diterima.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, seramai 10 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Raub dan Kuantan menerima sijil penghargaan tersebut.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada pegawai dan anggota yang amanah dalam menjalankan tugas," katanya.

Pada majlis itu, seramai 130 pegawai dan anggota polis kontinjen Pahang diraikan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!