Dua bot nelayan Vietnam tangkap gamat di perairan Kelantan

APMM menahan 11 awak-awak termasuk dua tekong dan dua bot nelayan Vietnam kerana menangkap gamat secara haram di perairan Kelantan semalam.
APMM menahan 11 awak-awak termasuk dua tekong dan dua bot nelayan Vietnam kerana menangkap gamat secara haram di perairan Kelantan semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 11 awak-awak termasuk dua tekong dan dua bot nelayan Vietnam kerana menangkap gamat secara haram di perairan Kelantan semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie berkata, penahanan itu dilakukan bot ronda Penyelamat 7 APMM yang sedang melakukan rondaan di bawah Op Kuda Laut yang diaktifkan 24 Jun lepas pada jarak 56.3 dan 61.7 batu nautika dari muara Tok Bali pada 6 dan 7 petang.

“Ini merupakan tangkapan yang ke-26 dan ke-27 menerusi Op Kuda Laut bagi seluruh perairan Malaysia serta menjadikan jumlah keseluruhan tahanan berjumlah 292 orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang berumur lingkungan 16 hingga 53 tahun serta dua bot mereka ditunda ke jeti APMM dengan mengambil masa selama 13 jam dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 bagi awak-awak.

“Selain itu mereka juga boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan,” katanya.

Katanya, kesemua barangan termasuk gamat, bot, minyak diesel dan peralatan menangkap gamat bernilai RM260,000 turut dirampas.- Bernama

Artikel Berkaitan: