Waspada modus operandi baharu Macau Scam

Zainuddin menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Kedah kepada Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim.
Zainuddin menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Kedah kepada Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai diminta berhati-hati dengan sindiket Macau Scam yang kini mengubah modus operandinya dengan berkunjung ke rumah mangsa, berbanding menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket berkenaan kini lebih berani bersemuka dengan mangsa untuk melakukan penipuan, terutama di bandar-bandar besar.

Menurutnya, namun setakat ini belum ada kes seumpama itu dilaporkan di Kedah.

“Saya harap orang ramai berwaspada dengan kehadiran individu tidak dikenali ke rumah sekiranya kelihatan mencurigakan. Mereka mempunyai maklumat berkaitan mangsa dan sangat licik memperdaya sehingga mangsa akhirnya percaya dengan kata-kata suspek,” katanya pada sidang media selepas majlis hi-tea Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Kedah bersama Media Kedah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Zainuddin berkata, terdapat 94 kes Macau Scam dilaporkan berlaku di Kedah bermula dari Januari hingga Jun tahun ini.

“Jumlah ini merupakan satu angka yang besar, bermakna hampir setiap hari ada mangsa terpedaya. Sepanjang tempoh itu, kerugian mencecah RM1.9 juta dan kita berjaya menahan 23 individu terlibat, terdiri daripada warganegara tempatan dan asing,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sembilan kes telah didakwa di mahkamah melibatkan rakyat tempatan.

“Macau Scam kini gunakan pelbagai kaedah, jadi bantulah polis dengan tidak menjawab panggilan telefon dari nombor tidak dikenali, selain menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran ahli sindiket yang dilihat mencurigakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin (enam dari kanan) bergambar bersama sebahagian Ketua Polis Daerah dan pengurusan tertinggi IPK Kedah serta wakil media, seusai majlis.
Zainuddin (enam dari kanan) bergambar bersama sebahagian Ketua Polis Daerah dan pengurusan tertinggi IPK Kedah serta wakil media, seusai majlis.

Zainuddin berkata, antara sasaran sindiket adalah pesara, ibu tunggal serta individu yang memiliki wang yang banyak dalam akaun dan ahli perniagaan.

“Sindiket ini seolah ada kemahiran membaca karakter mangsa yang dihubungi. Modus operandi mereka sama sahaja, iaitu dengan menyamar sebagai anggota polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Kastam, kononnya mangsa mempunyai bungkusan kiriman wang dan setelah disambung ke talian seterusnya, akhirnya tertipu,” katanya.

Menurutnya, usaha akan terus dipertingkatkan berdasarkan maklumat sedia ada supaya individu terlibat dikenakan tindakan.

“Hasil siasatan mendapati mereka bukan berseorangan, namun beroperasi secara berkumpulan. Ada juga kumpulan yang sasarkan bukan rakyat Malaysia, sebaliknya rakyat luar negara. Contohnya seperti tangkapan di Langkawi yang sasarkan mangsa dari negara mereka sendiri,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya meminta orang ramai menjadi mata dan telinga pihak polis dengan melaporkan segera kes seumpama agar sindiket berkenaan dapat dibanteras secara berterusan.