Kota Al Hasanah akan dibangunkan semula

Sulaiman ditemui pemberita di persidangan DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Sulaiman ditemui pemberita di persidangan DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan membangunkan semula daerah kecil di Sungai Rambai bagi meningkatkan ekonomi rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, tumpuan akan diberikan bagi membangunkan semula daerah kecil Kota Al Hasanah di Sungai Rambai yang pernah diwujudkan pada tahun 2017.

Menurutnya, kawasan itu telah dilengkapi bangunan sedia ada untuk menempatkan beberapa agensi kerajaan, namun tergendala selepas peralihan pemerintahan kerajaan pada 2018.

"Perancangan ini mampu menjadikan bangunan yang mengalami sedikit kerosakan akibat tidak digunakan dapat dimanfaatkan semula oleh masyarakat setempat.

"Bangunan sudah ada kenapa tidak kita lakukan, kita akan buat mengikut keperluan dan kehendak penduduk secara berperingkat," katanya.

Sulaiman berkata demikian kepada pemberita ketika sesi rehat Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Abd Rahman (BN- Sungai Rambai), Sulaiman berkata, kerajaan negeri bersedia untuk memperkasakan pembangunan di kota berkenaan dengan pembinaan hotel patuh syariah.

"Pembinaan hotel di Kota Al Hasanah yang juga merupakan pusat kegiatan Islam di Gerbang Selatan Melaka itu bagaimanapun bukanlah dibina pada masa terdekat memandangkan negara masih berperang dengan wabak Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: