Polis, masjid tangani jenayah, ajaran sesat

Ayob Khan (tengah) dan Yahya semasa pihak polis melakukan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Johor di Kompleks Islam Iskandar, hari ini.
Ayob Khan (tengah) dan Yahya semasa pihak polis melakukan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Johor di Kompleks Islam Iskandar, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis akan bekerjasama dengan pihak pengurusan masjid di negeri Johor untuk mendapatkan slot dan tip pencegahan jenayah setiap kali sebelum solat Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tujuannya untuk mencegah kegiatan jenayah termasuk mengekang ajaran sesat.

Jelas beliau, usaha tersebut sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Jabatan Mufti Johor.

"Saya nak guna slot pada 12.30 tengah hari hingga jam 1 petang sebelum solat Jumaat untuk berkongsi dengan jemaah dan masyarakat mengenai tip-tip pencegahan jenayah.

"Saya juga mahu berinteraksi dengan jemaah masjid dan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan jenayah di tempat mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan kunjungan hormat kepada Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad di Kompleks Islam Iskandar di sini hari ini.

Ayob Khan (kiri) dan Yahya semasa pihak polis melakukan kunjungan hormat di Jabatan Mufti Negeri Johor, Kompleks Islam Iskandar, hari ini.
Ayob Khan (kiri) dan Yahya semasa pihak polis melakukan kunjungan hormat di Jabatan Mufti Negeri Johor, Kompleks Islam Iskandar, hari ini.

Ayob Khan berkata, kaedah itu paling praktikal dan sesuai pada masa ini kerana masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apatah lagi aktiviti komuniti kepolisian terhad sekarang ini.

Artikel Berkaitan:

Cara tersebut katanya, amat berkesan dalam menangani jenayah di negeri ini termasuk membanteras ajaran sesat yang turut membabitkan aspek keselamatan.

Beliau berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja dilakukan di masjid tetapi juga akan diperluaskan ke gereja, kuil dan tokong.

Katanya, kesedaran orang awam untuk menyalurkan maklumat dalam usaha mencegah jenayah ajaran sesat di tempat mereka kini semakin tinggi.

"Jika bertindak atas aduan yang dibuat orang awam, kita yakin ini akan mendorong mereka untuk memberi maklumat lebih banyak lagi kepada pihak polis," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi talian hotline sedia ada atau melalui Facebook Polis Johor atau Facebook beliau.