Polis tahan 10,682 individu, rampas RM21.49 juta dadah

Pihak polis menggempur port dadah di bawah jambatan menerusi Ops Sarang Khas pada Ahad lalu.
Pihak polis menggempur port dadah di bawah jambatan menerusi Ops Sarang Khas pada Ahad lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Johor menahan 10,682 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas dadah bernilai RM21.49 juta pada tahun ini dari Januari hingga 19 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pelbagai jenis dadah yang dirampas sepanjang tempoh itu seberat 990.27 kilogram.

"Selain itu kita turut melakukan sitaan terhadap aset dan harta-harta yang dirampas dalam tempoh itu melibatkan nilai RM8.60 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, polis Johor melakukan operasi berkaitan dadah pada setiap minggu di sarang penagih di seluruh negeri terutama dalam kebun sawit atau kawasan hutan.

Menurutnya, operasi tersebut akan dipergiatkan kerana kebanyakan jenayah adalah berpunca daripada penagih dadah tegar.

"Dalam konteks membersihkan negeri Johor daripada penagih dadah tegar, polis Johor kini memperhebatkan tangkapan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Pihak polis membakar sarang penagih dadah menerusi Ops Sarang Khas pada Ahad lalu.
Pihak polis membakar sarang penagih dadah menerusi Ops Sarang Khas pada Ahad lalu.

Ayub Khan berkata, bermula Januari hingga 19 Julai lalu, polis berjaya membuat pertuduhan di bawah seksyen tersebut ke atas 243 pesalah dadah yang tegar dan berulang melibatkan 234 lelaki dan sembilan wanita.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek terdiri daripada 195 Melayu; 24 Cina; 20 India dan empat lainnya pelbagai bangsa yang berusia antara 20 hingga 65 tahun.

"Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39C ADB 1952, boleh dihukum penjara lima hingga tujuh tahun dan dikenakan tidak kurang tiga sebatan selain perintah pengawasan dua hingga tiga tahun," katanya.

Tambahnya, sekiranya dijatuhkan hukuman di bawah seksyen itu dan kesalahan masih berulang suspek boleh dipenjara antara tujuh hingga 13 tahun dan tiga hingga enam sebatan.