PKNP FC ikat Yashir Pinto

Pinto (dua, kanan) bersama pengurusan PKNP FC.
Pinto (dua, kanan) bersama pengurusan PKNP FC.
A
A
A

PKNP FC menandatangani kontrak dengan pemain kebangsaan Palestin, Yashir Pinto Islame sebagai pemain import ketiga skuad berkenaan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, kehadiran pemain berkenaan diharap dapat membantu PKNP FC berdasarkan pengalaman yang dimilikinya yang pernah beraksi untuk Melaka selama dua sejak mulai 2015 manakala Perak pada 2017.

Menurutnya, situasi berkenaan dilihat memberikan sedikit kelebihan kepada Yashir Pinto untuk beraksi bersama pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga M, kelak.

“Beliau dah biasa dan sinonim dengan persekitaran bola sepak kita di mana pada dua tahun lalu bersama Melaka dan pada musim 2017, beliau bersama Perak.

“Beliau juga boleh beraksi di beberapa posisi terutama di bahagian tengah dan penyerang. Jadi itu antara kelebihan yang kita lihat dan setuju untuk ambil beliau bagi memperkuatkan pasukan,” katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, PKNP menyasarkan untuk berada pada kedudukan lima pasukan terbaik Liga Super musim ini.

“Kehadiran Pinto diharap dapat membantu terutama dalam membimbing pemain-pemain tempatan. Kita juga dalam perancangan untuk membawa masuk penyerang import dari Senegal dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kita tak boleh dedahkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini disebabkan beliau masih menjalani ujian bersama pasukan dan kalau melepasi syarat ditetapkan, kita akan umumkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yashir Pinto, 27, ialah pemain import ketiga PKNP FC selepas pemain Ghana, Thomas Abby, 26, dan pemain kebangsaan Tajikistan, Sijavush Asrorov, 27 menandatangani kontrak, baru-baru ini.