Ops Sarang Khas gempur 13 port dadah

Pihak polis menggempur port dadah menerusi Ops Sarang Khas pada Ahad lalu.
Pihak polis menggempur port dadah menerusi Ops Sarang Khas pada Ahad lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Johor menahan 448 suspek atas pelbagai kesalahan dan merampas pelbagai dadah selepas menggempur 13 sarang penagihan dadah di seluruh negeri ini kelmarin.

Menerusi Ops Sarang Khas yang bermula dari jam 3 hingga 6 petang melibatkan 341 pegawai dan anggota polis dibantu 20 anggota Pasukan Sahabat serta 20 anggota Agensi Anti Dadah Antarabangsa (AADK) di 13 buah daerah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut menggunakan khidmat satu Unit Pengesan Anjing (K9) bagi membantu melancarkan operasi itu supaya tidak ada suspek yang melarikan diri.

"Semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun membabitkan 31 pengedar, 42 lagi memiliki dadah dan 331 penagih dadah.

"Polis merampas dadah jenis heroin seberat 300.13 gram (g); syabu (103.36g); ganja (1.12g); air ketum (4 liter) dan pil Erimin 5 (6 biji) yang semuanya dianggarkan bernilai RM20,989," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, daripada tangkapan kesalahan mengedar dadah, sembilan tangkapan melibatkan Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, empat tangkapan di bawah Seksyen 39 (a) ADB dan 18 tangkapan di bawah Seksyen 39a(1) ADB.

Penagih dadah dibawa ke balai polis selepas sarang penagihan mereka digempur dalam Ops Sarang Khas di seluruh Johor pada Ahad lalu.
Penagih dadah dibawa ke balai polis selepas sarang penagihan mereka digempur dalam Ops Sarang Khas di seluruh Johor pada Ahad lalu.

Beliau berkata, 42 suspek yang memiliki dadah itu pula disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala 331 penagih pula di bawah Seksyen 15(1)(a) 1952 kerana positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Majoriti mereka yang ditangkap itu merupakan penganggur selain ada segelintir dalam kalangan profesional dan kakitangan awam.

"Pihak polis turut menangkap 44 suspek yang mempunyai rekod kesalahan orang dikehendaki," katanya.

katanya, seramai 150 suspek yang ditangkap dalam operasi berkenaan berpotensi untuk dituduh di bawah Seksyen 39c ADB 1952 manakala 33 lagi di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Selain itu tiga suspek diambil tindakan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua kes akan dituduh secara tentatif selepas tempoh reman mereka tamat," katanya.