11 penuntut cemerlang terima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Bia­siswa Yang di-Pertuan Agong kepada Farah Syazana Aspar (kanan) di Istana Negara hari ini. Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Bia­siswa Yang di-Pertuan Agong kepada Farah Syazana Aspar (kanan) di Istana Negara hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong kepada 11 penuntut cemerlang di Istana Negara hari ini.

Penganugerahan biasiswa bagi sesi pengajian 2020/2021 itu terdiri daripada enam penerima yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) manakala lima yang lain dalam program Sarjana.

Biasiswa Yang di-Pertuan Agong merupakan pengiktirafan istimewa kepada mahasiswa Malaysia yang menunjukkan keputusan akademik dan ko-kurikulum luar biasa.

Biasiswa itu menjadi program tahunan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2006 dan sebanyak 14 sesi penawaran telah dilaksanakan sehingga tahun 2019.

Bidang pengajian yang ditaja di bawah biasiswa itu meliputi empat bidang iaitu sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.

Penerima-penerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong boleh melanjutkan pengajian masing-masing di universiti terkemuka dunia yang berada pada kedudukan 20 teratas atau di universiti penyelidikan di dalam negara.

Al-Sultan Abdullah (lapan dari kanan) berkenan bergambar bersama 11 penerima Bia­siswa Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah (lapan dari kanan) berkenan bergambar bersama 11 penerima Bia­siswa Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. Foto: Bernama

Senarai penerima biasiswa Ph.D terdiri daripada Noor Amiera Alias yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Amalina Hanani Ismail (Imperial College of London), Muhammad Hafizul Hazmi Wahab (Universiti Putra Malaysia), Ong Yi Ni (Universiti Oxford), Bryan Lim Wei Tem (Imperial College of London) dan K. Sivasanghari (Universiti Putra Malaysia).

Artikel Berkaitan:

Senarai penerima Sarjana pula ialah Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (Universiti Kebangsaan Malaysia), Nur Khairina Khairu Najihan (Universiti of Tokyo), Farah Syazana Aspar (Universiti Melbourne), Rohaisha Jamil (King's College London) dan Low Suey Yee (Universiti Putra Malaysia).

Sementara itu, bagi seorang penerima biasiswa tersebut, Bryan Lim, 24, beliau berharap dapat menyumbang semula kepada negara dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

"Saya harap dapat menyumbang kepada negara pada masa depan kerana AI adalah bidang yang sedang meningkat naik dan saya harap dapat kembangkan ke negara ini," katanya yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Dia yang merupakan bekas pemain tenis negara akan melanjutkan pelajaran ke Imperial College, London dalam bidang AI dan Robotik.

"Imperial College merupakan 10 univeriti terbaik dunia dan mempunyai kepakaran dalam bidang AI dan Robotik.

"Dengan kepakaran yang mencukupi saya dapat belajar dan menyumbang balik kepada negara pada suatu hari nanti," jelasnya.