Covid-19: Bomba Kelantan jalankan 466 sanitasi

Md Salleh menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Penguasa Bomba, Zaini Bidin sempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 di Dewan Utama JBPM, Tunjong hari ini.
Md Salleh menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Penguasa Bomba, Zaini Bidin sempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 di Dewan Utama JBPM, Tunjong hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kelantan telah melaksanakan 466 proses nyahkuman membabitkan premis kerajaan, swasta, institusi pendidikan termasuk pengangkutan awam di negeri ini bermula Mac lalu.

Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan dan orang ramai bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menurutnya, proses sanitasi dibuat di kawasan tumpuan awam selain turun padang melakukan nyahkuman di premis yang memohon dengan jabatan termasuk di taman bimbingan kanak-kanak dan pusat tahfiz.

“Terbaharu JBPM negeri Kelantan akan membantu Tourism Malaysia dan kerajaan negeri Kelantan untuk melakukan sanitasi di hotel-hotel di negeri ini.

“Ini adalah antara inisiatif yang dilakukan bagi meningkatkan keselamatan dan meyakinkan pengunjung untuk menginap di hotel-hotel terdapat di Kelantan,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 kepada 46 pegawai di Dewan Utama JBPM, Tunjong dan menyerahkan sumbangan berjumlah RM28,000 setiap seorang kepada dua balu anggota yang meninggal dunia.

Mengulas perkembangan yang sama, Md Salleh juga memberitahu, pihaknya telah menubuhkan task force bagi memantau pematuhan penjarakkan sosial melibatkan masyarakat di negeri ini.

Dalam pada itu, selain memberikan tumpuan kepada proses sanitasi, Md Salleh turut menekankan aspek keselamatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membabitkan premis tumpuan umum.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan pemeriksaan terdapat pemilik yang tidak membuka sepenuhnya pintu di premis perniagaan masing-masing untuk mengurangkan jumlah pelanggan.

Namun begitu, beliau berkata, keadaan tersebut sebenarnya berisiko kepada pengunjung sekiranya berlaku kecemasan.

“Pihak kami telah memberikan teguran kerana tindakan menghalang atau menutup laluan masuk serta keluar di premis adalah menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan penerima anugerah dan semua warga JBPM Kelantan sentiasa mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.