Jurang liputan 4G di Sabah perlu diperbaiki: Saifuddin

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jurang capaian liputan teknologi generasi keempat (4G) di Sabah perlu diperbaiki berbanding purata nasional.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, capaian liputan 4G di Sabah ialah 71.7 peratus manakala purata nasional 88.9 peratus.

Beliau berkata, pada masa ini belum ada tawaran dan permintaan di Sabah bagi menjalankan ujian teknologi 5G, namun kementerian bersedia bekerjasama sekiranya ada tawaran bagi tujuan itu.

“Dari segi capaian liputan 4G, purata nasional adalah 88.9 peratus berbanding dengan Sabah iaitu 71.7 peratus...jurang ini perlu diperbaiki,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad bertanya mengenai strategi kementerian dalam memastikan sasaran mencapai garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023 dengan kelajuan 30 megabit sesaat supaya 5G dilaksanakan secara efektif di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin berkata, terdapat 115 pusat internet di Sabah dibawah kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan pihak kementerian akan menambah baik premis berkenaan memandangkan pusat internet itu berfungsi sebagai penyedia kandungan program eRezeki dan Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDas) serta pusat untuk mendapatkan kesalinghubungan.

Sementara itu beliau berkata, 472 menara komunikasi telah siap dibina sehingga kini manakala 71 menara masih dalam peringkat pelaksanaan di Sabah dan ini termasuk penaiktarafan 1,163 stesen pemancar di menara komunikasi sedia ada di Sabah, dengan 34 daripadanya adalah di Parlimen Kimanis.

Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap Saifuddin berkata, kerajaan sedang melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lebih 48,000 sambungan telah tersedia melibatkan penaiktarafan 41 ibu sawat di Sabah, manakala 924 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat pada tahun ini.

Selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap, inisiatif penaiktarafan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik akan dilaksanakan dimana 43,879 pelanggan di Sabah akan dinaik taraf dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau menjawab soalan asal Mohamad berkenaan sejauh mana Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) pameran 5G telah dilaksanakan, serta jumlah kawasan yang masih lagi di bawah penggunaan internet 2G dan 3G di Sabah, terutamanya di Parlimen Kimanis. - Bernama