PMO maklum jumlah sebenar penerima bantuan Prihatin

Kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri dan perkongsian Anthony di Facebooknya berkaitan jumlah pemandu e-hailing.
Kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri dan perkongsian Anthony di Facebooknya berkaitan jumlah pemandu e-hailing.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan jumlah sebenar golongan penerima bantuan kerajaan di bawah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Menurut PMO dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada bantuan kerajaan di bawah inisiatif Prihatin yang disebut dalam Perutusan Khas Perdana Menteri semalam, angka sebenar adalah seramai 68,336 pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500 berjumlah RM34 juta.

"Seramai 37,127 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pesiaran telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM22.2 juta.

"Mengenai bantuan subsidi upah pula, inisiatif ini yang bernilai RM7.4 bilion telah memberi manfaat kepada 313,000 majikan dan 2.5 juta pekerja di seluruh negara," katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dalam perkongsian di Facebooknya berkata, setiap fakta dan angka yang diucapkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mestilah tepat dan tidak mengelirukan orang ramai.

Beliau yang juga bekas Menteri Pengangkutan memetik perenggan ketujuh ucapan Perdana Menteri itu didapati angka yang diberikan adalah salah.

"Pertamanya, jumlah pemandu e-hailing di seluruh negara tidaklah sampai 1.4 juta orang. Jumlah pemandu e-hailing yang telah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Darat (APAD) hanyalah dalam lingkungan 120,000 orang. Kalau 1.4 juta pemandu dibayar RM500 seorang, jumlah yang diperlukan ialah RM700 juta, bukannya RM34 juta.

"Saya rasa angka yang lebih tepat ialah RM34 juta telah dibayar dan kalau dibahagikan dengan RM500, jumlah penerima ialah 68,000 orang, jauh beza dengan 1.4 juta orang!

Artikel Berkaitan:

"Keduanya, kalau betul 477,000 pemandu pelancong, pemandu teksi dan bas dibayar RM600 seorang, jumlah yang perlu diperuntukkan ialah RM286.2 juta, bukannya RM28.8 juta.

"Kalau setakat RM28.8 juta telah dibayar untuk RM600 seorang, jumlah penerima hanyalah 48,000 orang, bukan 477,000. Itu perbezaan 10 kali ganda," tulisnya.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, sepatutnya pegawai Kementerian Pengangkutan dan pegawai PMO menyemak fakta terlebih dahulu.