Dua tekong rasuah penguat kuasa APMM ditahan

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki warga Myanmar kerana cuba memberi rasuah kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun didakwa cuba memberi rasuah sebanyak RM25,000 bagi tujuan melepaskan 25 etnik Rohingya yang diseludup ke negara ini.

Suspek dipercayai bertindak sebagai tekong yang terlibat secara aktif dalam kes penyeludupan di daerah Langkawi khususnya melibatkan etnik Rohingya.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan di Padang Matsirat, Langkawi kira-kira jam 3.35 pagi tadi ketika cuba memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa APMM untuk melepaskan 25 etnik Rohingya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang telah mendarat di Langkawi.

"Suspek ditahan hasil operasi bersama dan kerjasama APMM Wilayah Utara serta pemantauan sejak dua minggu lepas," katanya.

Sumber berkata, suspek dipercayai cuba menawarkan RM1,000 untuk setiap PATI menjadikan keseluruhan wang sebanyak RM25,000.

Menurutnya, ketika itu suspek memberikan wang sebanyak RM17,000 yang mana RM7,000 diberi secara tunai dan RM10,000 dimasukkan ke dalam akaun.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan:

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Menurut sumber, SPRM akan menyerahkan kedua-dua suspek selepas selesai siasatan kepada pihak polis bagi diambil tindakan di bawah Akta Anti Memperdagangkan Orang dan Anti Memperdagangkan Imigran 2007.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.