Polis pantau pengusaha cuba buka pusat hiburan

Sahabudin ketika pemeriksaan barisan pada Majlis Perhimpunan Lafaz Ikrar Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Sahabudin ketika pemeriksaan barisan pada Majlis Perhimpunan Lafaz Ikrar Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan ada beberapa pemilik premis pusat hiburan yang cuba membuka perniagaan mereka walaupun masih tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dijalankan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, polis akan sentiasa memantau bagi mengekang perkara itu daripada berlaku di negeri ini.

"Pemantauan kita mendapati, ada pemilik premis pusat hiburan yang cuba untuk membuka perniagaan mereka dalam tempoh PKPP ini.

"Bagaimanapun, ia bukan dalam peratusan yang besar cuma kita akan pastikan mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Lafaz Ikrar Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar pematuhan PKPP di Pulau Pinang menurun melebihi satu peratus berbanding sebelum ini yang mencatatkan lebih 98 peratus.

"Ia disebabkan banyak premis perniagaan, restoran, kedai dan sebagainya sudah dibuka. Ada yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Oleh itu, penguatkuasaan akan diperketatkan malah Ops Covid masih dijalankan sehingga tamat PKPP. Kita mempunyai lebih 140 pasukan untuk pemantauan pematuhan SOP di Pulau Pinang," katanya.

Sahabudin berkata, jumlah kompaun dan tangkapan juga menurun berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Pada ketika ini, kita akan memberi nasihat terlebih dahulu. Sekiranya masih berdegil, amaran akan diberikan seterusnya tangkapan," katanya.