169,728 penerbangan dibatalkan akibat Covid-19

KA SIONG - Foto Bernama
KA SIONG - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 169,728 penerbangan termasuk domestik dan antarabangsa dibatalkan membabitkan tiga syarikat penerbangan utama tempatan dalam tempoh enam bulan berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 114,693 membabitkan pembatalan penerbangan domestik dan selebihnya penerbangan antarabangsa.

"Bagi syarikat Malaysia Airlines (MAS), sejumlah 32,790 penerbangan domestik dibatalkan, manakala 12,890 penerbangan antarabangsa dengan jumlah keseluruhan 45,680 penerbangan.

"Bagi Air Asia, sebanyak 71,980 penerbangan domestik dibatalkan, manakala 34,963 membabitkan penerbangan antarabangsa dengan jumlah keseluruhan 106,943 penerbangan.

"Sebanyak 17,105 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan membabitkan syarikat Malindo," katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lebih lanjut soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) di Dewan Rakyat mengenai jumlah penerbangan dan pembatalan tiket akibat Covid-19.

Jelasnya, susulan pembatalan penerbangan dalam tempoh enam bulan itu menyebabkan kira-kira 4.316 juta pengguna terkesan.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada impak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkembangan itu berdasarkan analisis Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan harga tiket penerbangan kembali normal kepada harga purata pada 2019 menjelang November ini.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

"Kementerian sudah mengarahkan MAVCOM melaksanakan pemantauan pengenaan kadar tambang yang dikenakan oleh syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ka Siong turut memaklumkan kerajaan telah meminta syarikat penerbangan untuk mempertimbangkan pengurangan kadar tambang dengan menawarkan pakej tertentu khususnya kepada golongan pelajar universiti awam.