UMNO, Pas dan Bersatu bincang pembahagian kerusi malam ini

AHMAD SAMSURI
AHMAD SAMSURI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertemu malam ini bagi membincangkan pembahagian kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan mengetuai Pas sebagai Naib Presiden parti itu bagi membincangkan persiapan ketiga-tiga parti terbabit.

"Dari Pas akan dipimpin oleh saya sebagai naib presiden parti. Dari parti lain, akan menjadi pemimpin parti lain," katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.

Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang akan mewakili pihak lain malah tidak mahu memaklumkan di mana dan masa pertemuan itu akan berlangsung pada malam ini.

"Apabila kita selesai dengan perbincangan, Insya-ALLAH kita akan mengundang wartawan," katanya.

UMNO, Pas dan Bersatu adalah sekutu dalam gabungan Perikatan Nasional yang tidak rasmi pembentukannya dan tanpa Bersatu, UMNO dan Pas juga bersekutu melalui Muafakat Nasional.

18 Julai lalu, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, Pas akan mempertahankan enam daripada lapan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan: