Majoriti ahli akar umbi Bersatu sokong saya: Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa majoriti ahli parti itu masih menyokong beliau berdasarkan sokongan diterima melalui program Bersatu Blackout di Alor Setar pada Sabtu lalu.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu berkata, keyakinan itu disuarakan beliau meskipun hampir semua ketua bahagian Bersatu kini dipercayai beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau akan terus menguasai Bersatu kerana masih mendapat sokongan akar umbi walaupun dipecat.

"Secara umumnya (akar umbi) Bersatu menyokong saya sebagai pengerusi kerana mereka percayakan saya.

"Tetapi Muhyiddin telah memujuk ketua bahagian (dengan beri jawatan dalam kerajaan) untuk menyokongnya," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight semalam.

Dr Mahathir berkata, mengikut perlembagaan parti, presiden perlu berunding dengan pengerusi dalam membuat sebarang keputusan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Muhyiddin bertindak memecat beliau dan setiausaha agung parti terdahulu, Datuk Marzuki Yahya tanpa mengemukakan pertanyaan atau melalui siasatan telus.

"Bersatu adalah sebuah parti yang mempunyai perlembagaan dan ia tidak memecat sesiapa tanpa siasatan telus.

Artikel Berkaitan:

"Kami anggap diri kami masih lagi ahli Bersatu. Beliau (Muhyiddin) terus pecat sesiapa saja jika tidak menyokongnya.

"Itu tidak boleh kerana perlembagaan ada prosedurnya. Oleh itu, saya masih lagi ahli Bersatu dan kami akan tunggu mahkamah untuk putuskan," katanya.