JKM Perak buat 'spot check' taska, pusat jagaan

Dr Wan Norashikin melihat aktiviti dilakukan kanak-kanak mengikut SOP ditetapkan di Taska Addin, Ipoh hari ini.
Dr Wan Norashikin melihat aktiviti dilakukan kanak-kanak mengikut SOP ditetapkan di Taska Addin, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak menjalankan sebanyak 107 lawatan mengejut ke taska dan pusat jagaan di seluruh Perak bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, daripada 274 taska yang berdaftar dengan JKM, sebanyak 181 yang beroperasi dengan 60 daripadanya sudah dilawati oleh pegawai JKM.

"Sehingga kini semua taska dan pusat jagaan di seluruh Perak mematuhi garis panduan yang ditetapkan memandangkan tiada tindakan diambil ke atas pengusaha taska dan pusat jagaan tersebut.

"Berdasarkan tinjauan yang dibuat, saya amat berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh taska-taska dan pusat jagaan berdaftar dengan JKM ini dan kita harap ia berterusan," katanya kepada pemberita selepas memeriksa pematuhan SOP di Tadika Kinder Joy, di Jalan Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.

Hadir sama meninjau pematuhan SOP itu, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.

Dalam pada itu, Wan Norashikin mengharapkan agar pematuhan SOP diteruskan oleh semua taska dan pusat jagaan sama ada berdaftar atau sebaliknya.

Katanya, perkara itu penting dalam memastikan tahap keselamatan kanak-kanak di taska dan pusat jagaan dalam keadaan terbaik.

Sementara itu, beliau berkata, JKM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak akan terus memantau dari semasa ke semasa semua taska dan pusat jagaan bagi memastikan SOP terus dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

Selain Kinder Joy, Wan Norashikin turut meninjau pematuhan SOP di Taska Alam Didikan Insan (Addin) di Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini.