AS hadkan akses terhadap 11 syarikat China

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mengehadkan akses 11 entiti China terhadap teknologi AS kerana terlibat dengan pelanggaran hak asasi manusia ke atas kaum minoriti Uighur di Xinjiang.
Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mengehadkan akses 11 entiti China terhadap teknologi AS kerana terlibat dengan pelanggaran hak asasi manusia ke atas kaum minoriti Uighur di Xinjiang.
A
A
A

ANKARA - Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengehadkan akses 11 entiti China terhadap teknologi AS kerana terlibat dengan pelanggaran hak asasi manusia ke atas kaum minoriti Uighur di Xinjiang, barat laut China, lapor Agensi Berita Anadolu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata tindakan itu mengakibatkan akses syarikat berkenaan terhadap barangan AS termasuk komoditi dan teknologi akan menjadi terhad.

Syarikat berkenaan dituduh terlibat dalam pelanggaran dan pencabulan hak asasi manusia, membuat tangkapan dengan sewenang-wenangnya, mengumpulkan data biometrik secara tidak sah, dan analisis genetik yang menyasarkan kumpulan minoriti Islam dari Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR).

Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross berkata langkah itu diambil untuk memastikan barang-barang Amerika tidak digunakan oleh rejim Beijing yang menindas.

"Tindakan ini akan memastikan barang dan teknologi kita tidak digunakan dalam serangan Parti Komunis China terhadap minoriti Islam," kata Ross.

Syarikat-syarikat itu termasuk Changji Esquel Textile Co. Ltd., Hefei Bitland Information Technology Co. Ltd., Hefei Meiling Co. Ltd., Hetian Haolin Hair Accessories Co. Ltd., Hetian Taida Apparel Co., Ltd., KTK Group, Nanjing Synergy Textiles Co. Ltd., Nanchang O-Film Tech dan Tanyuan Technology Co. Ltd, Xinjiang Silk Road BGI dan Beijing Liuhe BGI.

Wilayah Xinjiang dihuni kira-kira 10 juta orang Uighur. Kumpulan Islam Turki, yang membentuk sekitar 45 peratus penduduk Xinjiang itu, sekian lama mendakwa pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi. - Bernama

Artikel Berkaitan: