Tidak perlu PKPD di Kluang: MB Johor

HASNI
HASNI
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu dilaksanakan di Kluang susulan kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah pusat jagaan warga emas di daerah itu semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, bilangan individu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) di situ agak kecil dan langkah pengawalan sudah dilakukan oleh KKM.

"Berdasarkan kluster baharu itu rasanya tidak perlu PKPD kerana punca daripada kes yang menyebabkan jangkitan positif ini bukan daripada bilangan yang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kluster baharu di rumah jagaan warga emas di Kluang selepas Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) Taman Pulai Mutiara secara Facebook Live di Auditorium Permata Sari RTM Johor di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan seramai 12 individu dari Kluster Rumah Warga Emas Kluang, Johor disahkan positif Covid-19.

Katanya, kluster ini dikesan apabila kes indeks dilaporkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Enchee' Besar Hajjah Khalsom kelmarin.

Terdahulu pada 27 Mac lalu, dua kawasan di Kluang iaitu di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam menjadi lokasi pertama melaksanakan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid ditamatkan pada 28 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pelaksanaan PKPD, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh itu.