Tiada jamuan di masjid, surau selepas ibadah korban

Mohamad Rizam
Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak membenarkan jamuan diadakan di masjid atau surau selepas ibadah korban sebaliknya daging diagihkan terus kepada yang layak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, itu antara perkara diputuskan berdasarkan Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh PKPP melibatkan Mufti Kelantan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, garis panduan yang disediakan adalah untuk diguna pakai melibatkan ibadah korban di rumah sembelih ruminan jabatan (Kompleks Abatoir DVS), masjid atau surau dan kawasan lapang awam mahupun persendirian.

“Bagi agihan daging korban oleh petugas, dilakukan secara langsung kepada mereka yang layak mengambil bahagian dan fakir miskin berdasarkan senarai nama telah ditetapkan.

“Untuk agihan dengan kehadiran peserta pula, jumlah kehadiran dan masa ditentukan penganjur tertakluk kepada keluasan kawasan dan elakkan 3S iaitu (sesak, sempit dan sembang dekat),” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan yang peserta ibadah korban perlu mewakilkan kepada penganjur ibadah korban bagi menyempurnakan akad dan wakalah.

Selain itu katanya, sebelum memulakan ibadah korban penganjur perlu sediakan meja pendaftaran, pencuci tangan dan penyukat suhu.

"Peralatan menyembelih, melapah dan memproses daging juga perlu berada dalam keadaan baik, bersih dan tajam sama ada disediakan oleh penganjur atau dibawa sendiri serta tidak boleh dikongsi.

Artikel Berkaitan:

"Setiap individu yang hadir perlu diperiksa suhu badan dan direkodkan maklumat (nama, nombor telefon, dan alamat) setiap kali menyertai ibadah korban. Pemeriksaan ini perlu dibuat di pintu masuk ke tempat pelaksanaan ibadah korban.

"Kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan hadir di kawasan ibadah korban, selain Individu yang mencatatkan suhu badan 37.5 darjah Celsius ke atas atau bergejala juga tidak boleh turut serta dan perlu dirujuk kepada klinik kesihatan berdekatan," katanya.

Dalam masa sama beliau turut mengingatkan terhadap pematuhan penjarakkan sosial sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain memaklumkan yang petugas korban wajib memakai pelitup muka.

Katanya juga, petugas petugas korban bagi seekor ternakan ruminan besar (lembu/kerbau) tidak melebihi 14 orang, bagi ruminan kecil (kambing/ bebiri) tidak melebihi dua orang dan peserta ibadah korban tidak digalakkan menunggu sehingga selesai majlis.

Malah, beliau berkata, jarak di antara lembu yang disembelih di masjid, surau atau kawasan lapang mestilah tidak kurang lima meter antara satu sama lain dan jumlah penyembelihan maksima dihadkan sebanyak 10 ekor bagi satu-satu masa.

"Digalakkan majlis korban yang melibatkan jumlah ternakan yang besar dijadualkan pelaksanaannya dalam tempoh hari Tasyrik,” katanya.

Pastikan juga kata beliau, selepas penyembelihan kawasan yang terlibat dibersihkan dan disifeksi mengikut garis panduan KKM.

"Kepatuhan semua pihak terlibat iaitu penganjur, peserta dan petugas dalam pelaksanaan ibadah korban, insyaALLAH akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak koronavirus Covid-19,” katanya.