X

Kindly register in order to view this article
!

Suri rumah menangis, tak mengaku dera anak angkat

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita menangis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak angkatnya yang berusia enam tahun pada Januari tahun lalu.

Munirawati Othman, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohd Khalid.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa dengan sengaja melakukan penderaan terhadap kanak-kanak perempuan sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah Kampung Batu Muda, Sentul pada Januari 2019.

Kanak-kanak itu yang kini sudah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilaporkan mempunyai kesan bengkak di lutut kanan dan parut lama di belakang badan serta jari tangan kiri.

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi ikat jamin dengan alasan perlu menjaga empat anaknya yang berusia 17 hingga 10 tahun.

Dia turut memohon mahkamah memberi kadar ikat jamin yang rendah memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pekerja am.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!