Suri rumah didakwa terima wang RM380,000 bukan miliknya

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM380,000 bukan miliknya lapan tahun lalu.

Tertuduh, Luwee Pei Chen, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Pei Chen pada 13 Disember 2013 hingga 29 Januari 2014 di Public Bank di Jalan Genting Klang, Setapak telah dengan curangnya menerima wang berjumlah RM380,000 kepunyaan ahli perniagaan Tan Han Seng, 31, ke dalam akaun Public Bank miliknya yang mana diketahui wang tersebut bukan milik tertuduh.

Oleh yang demikian tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah.

Siti Nur Hajar menawarkan wang jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh, memohon wang jaminan rendah ekoran tertuduh tidak bekerja dan ditanggung sepenuhnya oleh suami yang bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Syazwan turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya juga mempunyai dua anak yang masih belajar dan turut ditanggung suaminya yang hanya bergaji antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Hasbullah juga menetapkan tarikh 28 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen