Bekas pembantu tadbir didakwa buat tuntutan palsu

No Image Caption
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang pembantu tadbir kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada November 2015.

Tertuduh Meriam Mamat, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan, sejurus pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pembantu tadbir kewangan di Pejabat Kesihatan Daerah Muar didakwa mengemukakan tuntutan baucar bayaran bagi pembekalan barangan bukan ubat ke lima buah klinik kesihatan yang berjumlah RM109,930 kepada JKNJ walhal barangan berkenaan tidak dibekalkan kepada klinik tersebut.

Klinik-klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan (KK) Lenga, KK Parit Jawa, KK Air Hitam, KK Kampung Kenangan dan KK Bakri.

Dia dituduh mengemukakan tuntutan palsu itu menggunakan empat nama syarikat berlainan iaitu, Perniagaan Maju Sinar, Vista Kirana, Arryan Resources dan A One Access.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam bulan November 2015 di Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

Pendakwaan terhadap Meriam dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Norsyarina Raizan yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun Meriam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan berpendapatan bersih bulanan kira-kira RM1,000 serta menghidapi beberapa penyakit antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Artikel Berkaitan:


Kamarudin kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau juga menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama