Pegawai pendidikan didakwa terima rasuah RM6,000

Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM di mahkamah.
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai perkhidmatan pendidikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM6,000 daripada seorang kontraktor empat tahun lalu.

Tertuduh Faridah Din, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berkhidmat di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar di Seremban telah menerima wang RM6,000 daripada Zainal Abidin Abdul Wahid, 53, yang mana ketika itu Faridah bertugas sebagai Penyelaras Program Transformasi Minda manakala Zainal menerusi syarikatnya adalah pembekal makanan untuk program berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Seremban pada 6 April 2016, jam lebih kurang 7.15 petang.

Berikutan itu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165, sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahya memohon tertuduh diberikan jaminan RM12,000.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hanif Hasan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh patuh dengan jaminan SPRM sebelum ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Ogos ini sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: