X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki aktif pecah rumah diberkas

Agus Salim (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang yang dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - Dua lelaki yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini ditahan polis dalam serbuan di hadapan sebuah kedai emas di Sungai Besar pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kedua-dua lelaki berusia 37 dan 38 tahun itu ditahan pada jam 6.30 petang hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu dipercayai melakukan jenayah pecah rumah susulan aduan daripada seorang mangsa berusia 40 tahun yang mendakwa melihat kelibat suspek di belakang rumah lamanya di sebuah kuarters di daerah ini dalam keadaan mencurigakan pada jam 12 tengah hari, 16 Julai lalu.

"Mangsa kemudiannya memeriksa rumahnya dan mendapati pintu jeriji belakang dipecahkan serta keadaan rumah yang berselerak.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM300," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Agus Salim berkata, suspek juga dipercayai memecah masuk sebuah rumah di daerah ini pada jam 5 petang, 9 April lalu.

Katanya, seorang abang mangsa membuat laporan polis memaklumkan rumah adiknya dimasuki pencuri dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,500.

"Suspek dipercayai masuk ke rumah terbabit dengan mengumpil tingkap bilik bahagian belakang," katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya merampas beberapa barangan antaranya cakera padat digital (DVD), pembesar suara, serbuk cuci pakaian dan produk kesihatan.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek pertama memiliki tiga rekod jenayah narkotik manakala rakannya pernah ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!