Kerajaan negeri sentiasa bantu pemaju kurangkan kos

Ahmad Faizal pada sidang media hari ini.
Ahmad Faizal pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sentiasa memikirkan kaedah untuk membantu mengurangkan kos (pembinaan) kepada golongan pemaju perumahan di negeri ini sebagai usaha membantu menyediakan rumah kepada rakyat dengan harga yang berpatutan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya berharap dengan berbuat demikian pihak pemaju dapat menjual rumah dengan harga yang rendah kepada pembeli.

“Kita sentiasa fikir bagaimana untuk kurangkan kos kepada pemaju perumahan agar pemaju dapat menjual rumah pada kadar harga yg lebih rendah. Kita cuba fikir dan lakukan kepada semua dan kita sambut baik serta sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan persekutuan dalam perkara ini.

“Apa yang penting, akhirnya rumah dapat kita bekalkan kepada rakyat dan sebolehnya dengan harga yang rendah kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam menyediakan tanah yang bersesuaian untuk perumahan rakyat di negeri ini.

Sementara itu Ahmad Faizal enggan mengulas berhubung isu penerokaan tanah bagi tujuan pertanian di Kuala Bikam.

“Berhubung isu berkenaan, biarlah pihak MBInc yang jawab,” katanya.

Artikel Berkaitan: