X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki samun jurujual dalam lif ditahan

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan selepas dipercayai terlibat kes samun seorang jurujual di dalam sebuah lif pangsapuri di Bandar Perai Jaya di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua mereka berusia di antara 24 hingga 32 tahun ditangkap di rumah masing-masing dalam beberapa serbuan yang dilakukan sejak 15 Julai sehingga semalam.

Menurutnya, pengawal keselamatan yang tinggal di pangsapuri berkenaan dikatakan menjadi perancang utama dalam kes samun itu selepas melihat mangsa berseorangan di dalam lif.

"Suspek juga mengaku memukul mangsa sebelum mereka melarikan pelbagai barangan berharga termasuk kereta Toyota Vios milik jurujual terbabit.

"Salah seorang daripada suspek diarahkan untuk menyembunyikan kereta terbabit di sebuah flat di Mak Mandin manakala seorang lagi hanya mengikut arahan pengawal keselamatan terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Shafee berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah seperti samun dan pecah rumah selain terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis berjaya merampas semula kereta dan telefon bimbit jenis Iphone X milik mangsa.

"Kesemua suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan dan curi kenderaan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang jurujual cedera akibat dibelasah dan disamun tiga lelaki di dalam sebuah lif pangsapuri di Bandar Perai Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun dari Sungai Petani dikatakan mahu ke rumah rakannya di pangsapuri terbabit.

Semasa menaiki lif berkenaan terdapat tiga lelaki bersamanya dan salah seorang daripada lelaki itu bertanya ke mana mangsa mahu pergi.

Sebaik dia memberitahu mahu ke tingkat 16, salah seorang daripada suspek bertindak mencekik lehernya menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan ketiga-tiga lelaki itu.

Mangsa telah ditumbuk beberapa kali pada pipi kiri dan kanan serta mulut. Suspek kemudian mengambil beg mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan kunci kereta.

Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas dompet dan barangan peribadinya dilarikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Disamun, dibelasah dalam lif


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!