Surau terbakar perlukan RM400,000

Kebakaran memusnahkan ruang solat Surau Al Firdaus Taman Banting Baru.
Kebakaran memusnahkan ruang solat Surau Al Firdaus Taman Banting Baru.
A
A
A

BANTING - Surau Al Firdaus Taman Banting Baru di sini yang terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas kelmarin memerlukan sekurang-kurangnya RM400,000 untuk membaiki semula surau berkenaan.

Setiausaha surau berkenaan, Hasmi Azli Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan anggaran kos tersebut daripada pihak yang pakar dalam kerja- kerja pembinaan.

Bagaimanapun menurutnya, pengurusan surau masih menunggu keputusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sama ada struktur bangunan surau itu boleh diguna semula atau perlu dibangunkan surau baharu.

"Asalnya surau ini adalah surau sementara yang dinaik taraf sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi tempat kegunaan yang bukan hanya untuk penduduk taman, malah turut dimanfaatkan penduduk setempat dan mampu memuatkan 400 kariah.

"Surau ini baharu sahaja siap dibina dewan serbaguna tahun lepas dengan kos RM50,000 daripada dana projek dikumpul hampir dua tahun hasil sumbangan orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, kebakaran disedari penduduk yang tinggal berhampiran surau berkenaan yang ternampak kepulan asap sebelum menghubungi pihak bomba.

Walaupun usaha memadamkan kebakaran dilakukan penduduk, namun api yang marak menyebabkan surau dianggarkan berusia 12 tahun itu gagal diselamatkan dan turut menyebabkan kitab dan al-Quran yang berada di dalamnya musnah.

Artikel Berkaitan:

Wakil dari YIDE dan MAIS meninjau keadaan Surau Al Firdaus Taman Banting Baru yang terbakar kelmarin.
Wakil dari YIDE dan MAIS meninjau keadaan Surau Al Firdaus Taman Banting Baru yang terbakar kelmarin.

Susulan itu, satu mesej mengenai tabung derma kilat mulai tular di aplikasi WhatsApp beberapa jam selepas kejadian.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Hasmi berkata, pihak surau menerima banyak mesej daripada individu yang memaklumkan sedia menyalurkan sumbangan.

"Setakat ini banyak yang menyumbang wang tunai dan ada juga yang menyatakan kesediaan untuk menyumbang bahan binaan, namun masih menunggu keputusan daripada JAIS serta MAIS.

"Kami pihak surau terima dengan hati terbuka dan mengalu-alukan sumbang pihak luar termasuk syarikat korporat yang ingin membantu," katanya.

Orang awam yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun Surau Al-Firdaus Taman Banting Baru menerusi Bank Islam Berhad (1207 40100 41185).

Terdahulu, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan MAIS hadir melawat surau berkenaan dan menghulurkan sumbangan wang tunai disampaikan Setiausaha MAIS, Ahmad Shahir Makhtar