X

Kindly register in order to view this article
!

Conteng gambar pemimpin kerana cemburu

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Hushim Salleh (atas) dan Shahul Hamid
A
A

SHAH ALAM - Sifat cemburu dan sakit hati dipercayai memberi dorongan kepada individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan vandalisme dengan menconteng mural potret pemimpin negara dengan perkataan tidak senonoh.

Pakar Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, rasa cemburu yang meluap-luap mungkin timbul ekoran barisan pemimpin itu tidak putus-putus menerima pujian daripada orang ramai disebabkan peranan mereka dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

“Ini semua lebih kepada cemburu sebab mungkin pelaku tu tengok pemimpin kita ini asyik dipuji dalam media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Bila tengok pemimpin ini disayangi ramai, timbul rasa tak puas hati lalu jadilah perbuatan vandalisme sebegini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Media semalam melaporkan mural gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama beberapa pemimpin utama negara yang lain pada dinding bangunan di Taman Cahaya Alam, Sesyen U12, Shah Alam diconteng dan diirosakkan.

Mural itu turut memaparkan wajah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada rakaman kamera litar tertutup yang tersebar, ia menunjukkan perbuatan itu dilakukan wanita.

Ditanya adakah kemungkinan ia berlaku disebabkan wujud unsur kumpulan feminin yang tidak suka gambar lelaki diabadikan, Hushim berpendapat ia tidak menjurus ke arah itu.

"Daripada perkataan yang ditulis di atas potret itu, saya sifatkan ia lebih kepada sifat cemburu kerana kalau perempuan benci kepada lelaki, kata-kata yang dia tulis mungkin lain.

"Sifat cemburu dan iri hati ini juga sebahagian daripada unsur psikologi yang mana dia gagal mengawal rasa dengki dalam hati dengan melempiaskannya ke atas mural itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak kes sedemikian berlaku di negara ini berdasarkan pengalamannya.

"Kalau orang ini ditangkap biasanya mereka akan cakap mereka tak suka ramai orang puji orang-orang yang mereka mungkin tak suka," katanya.

Berikutan itu, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Hushim mengesyorkan agar lokasi yang memiliki keunikan seperti mempunyai mural pemimpin nombor satu negara perlu mempunyai kawalan keselamatan.

Katanya, langkah itu dilakukan kebanyakan di luar negara bagi mengelakkan ia menjadi mangsa vandalisme.

"Kalau kita pergi ke luar negara seperti di Turki, tempat yang macam ini dijaga dan dikawal," katanya.

Sementara itu, Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim menyifatkan pelaku yang melakukan vandalisme itu adalah orang 'sakit' hingga sanggup melakukan perbuatan mengarut yang mengundang kemarahan ramai orang.

"Mungkin dia rasa puas dengan tindakannya dan beranggapan dia akan terlepas dengan perbuatannya.

"Tapi dia tak tahu akibat perbuatannya, ia mengundang kecaman dan kemarahan masyarakat. Ini adalah perbuatan keterlaluan," katanya.

Menurutnya, perbuatan itu juga menunjukkan sikap tidak bermoral dan kesedaran sivik yang rendah.

"Sepatutnya kita menghormati pemimpin dan jangan mencerca. Apa yang dilakukan pelaku ini satu budaya tidak elok dan ia bukan budaya kita.

"Saya tak lihat perbuatan ini dilakukan sebab ada tekanan jiwa sebaliknya ia sikap jahat yang mahu ditunjukkan kepada orang. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dalam kes ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MBSA cat semula mural pemimpin negara diconteng

Polis teliti CCTV kesan pelaku conteng mural pemimpin

Dua disyaki wanita conteng mural gergasi potret pemimpin negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!