Waspada trend jangkitan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KORONAVIRUS (Covid-19) ialah penyakit berjangkit respiratori baharu yang merebak dengan cepat ke seluruh dunia. Jumlah kes dunia kini hampir kepada 14.5 juta dan jumlah kes tertinggi mengikut negara ialah Amerika Syarikat, Brazil dan India.

Kes harian sehingga kelmarin dilaporkan melebihi 230,000 kes dengan jumlah kematian di seluruh dunia sudah pun melebihi 600,000 kes. Lebih membimbangkan penularan kes jangkitan di kebanyakan negara telah merebak dari bandar besar ke bandar lebih kecil serta kawasan pedalaman.

Malahan di kebanyakan negara, kes harian menunjukkan trend peningkatan. Kelmarin di India, misalnya, mencatat 38,902 kes baharu dalam sehari dengan 543 kematian yang membawa jumlah keseluruhan kepada 1,077,618 kes manakala Amerika Syarikat melaporkan 72,045 kes baharu, sekali gus mencatat rekod kes harian tertinggi sejak pandemik itu bermula dengan jumlah keseluruhan 3.68 juta kes.

Di seluruh dunia, faktor peningkatan kes jangkitan adalah disebabkan antara lain penarikan perintah berkurung di kebanyakan negara dalam usaha pemerintah menggerakkan semula ekonomi, kadar kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) mulai berkurangan khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Di Malaysia kebelakangan ini, kes harian Covid-19 mula menunjukkan corak atau trend tidak tetap atau statik.

Ada kala naik dan turun yang menimbulkan kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga kalangan masyarakat di negara ini.

Hal ini merisaukan kerana negara pernah mencatatkan bilangan kes satu angka, tetapi kini kembali meningkat menjadi dua angka. Misalnya, selepas mencatat satu angka (9 kes) pada 18 Julai, kes baharu Covid-19 di Malaysia kembali kepada dua angka kelmarin dengan 15 kes baharu dilaporkan membabitkan empat kes import dan 11 penularan tempatan membabitkan warganegara dan bukan warganegara. Malahan, setelah sekian lama tiada kes kematian dicatatkan pada 17 Julai berlaku satu lagi kes kematian yang menjadikan keseluruhan 123 kes.

Serius

Artikel Berkaitan:

Pemerhatian menunjukkan terdapat segelintir masyarakat mula mengabaikan dan tidak memandang serius aspek pematuhan SOP seperti tidak memakai pelitup muka, pelitup muka sekadar menutup dagu, malah pengabaian penjarakan sosial juga jelas kelihatan di tempat tumpuan awam.

Perkara ini turut mendapat teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan melihat ramai rakyat semakin mengabaikan amalan SOP bagi mencegah penularan wabak. Malaysia belum lagi menang secara total atau bebas sepenuhnya dalam melawan Covid-19. Covid-19 adalah musuh yang tidak boleh dilihat, sesiapa berkemungkinan dan berpotensi untuk dijangkiti jika tidak berwaspada. Dalam keghairahan terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan, aspek kawalan kendiri serta pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus diutamakan.

Sudah tentu, kita tidak mahu kes jangkitan Covid-19 di negara ini kembali meningkat dan wujud kembali kluster baharu dek kealpaan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Perundangan dan SOP semata-mata tidak berjaya sekiranya kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mendisiplinkan diri dan mengawal wabak tersebut daripada merebak. Berjaya atau tidak usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini banyak bergantung kepada usaha rakyat sendiri kerana Malaysia hanya boleh mengumumkan bebas jangkitan Covid-19 sekiranya tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.

Justeru, orang ramai tidak boleh alpa dan terus kekal waspada dan terus mengamalkan nasihat kesihatan yang disarankan KKM iaitu Elakkan 3S/3C dan Amalkan 3W. Bersama-sama kita menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam mengekang peningkatan dan penularan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia