Sungai Kim Kim kembali bertoksik

Penduduk Pasir Gudang khuatir insiden pencemaran udara bertoksik sehingga menyebabkan orang ramai pening, muntah kembali berulang. Gambar kecil (dari kiri): Azalila, Mohd Rafee, Maslina, Maimum dan Rafiah
Penduduk Pasir Gudang khuatir insiden pencemaran udara bertoksik sehingga menyebabkan orang ramai pening, muntah kembali berulang. Gambar kecil (dari kiri): Azalila, Mohd Rafee, Maslina, Maimum dan Rafiah
A
A
A

PASIR GUDANG - Penduduk Pasir Gudang, Johor kembali dihantui kebimbangan tragedi pencemaran udara selepas mendapati air di Sungai Kim Kim kini semakin keruh dan berkeladak hitam sejak Jun lalu.

Lebih menakutkan, selepas sekolah dibuka bulan lalu terdapat insiden pelajar pening dan muntah akibat terhidu bahan kimia.

Ada penduduk mendakwa, sewaktu semua kilang ditutup selama tiga bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), air sungai tersebut kelihatan bersih malah boleh dilihat hingga ke bahagian dasar.

Mohd Rafee Abdullah, 47, dari Taman Pasir Putih berkata, kini sungai itu dan sungai-sungai berhampiran kembali berlumpur dengan berkeladak hitam dan kadang-kadang berminyak disebabkan aktiviti industri.

“Kami risau kes pencemaran Sungai Kim Kim berlaku lagi. Kita minta pihak berkuasa jangan berdiam diri dan segera lakukan pemantauan serta pembersihan sungai.

“Melihat kepada situasi terkini, memang terbukti pencemaran Sungai Kim Kim berpunca daripada kilang-kilang berdekatan, tidak seperti yang mereka nafikan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Air Sungai Kim Kim kembali berkeladak dan berbaut tengik sejak sebulan lalu.
Air Sungai Kim Kim kembali berkeladak dan berbaut tengik sejak sebulan lalu.

Mohd Rafee dan keluarga yang menjadi mangsa pencemaran hingga anaknya terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru berkata, insiden pencemaran Sungai Kim Kim sudah lebih setahun berlalu tetapi sehingga kini tiada perkembangan positif malah sungai-sungai terus tercemar.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada lima anak itu berkata, walaupun kerajaan sudah bertukar diharapkan usaha membantu lebih 100 mangsa pencemaran yang terjejas kesihatan termasuk ada yang mengalami kecacatan dapat diteruskan.

Dalam pada itu, Maimum Supaan, 49, dari Taman Kota Masai mendedahkan, beliau yakin aktiviti membuang sisa kimia masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab sehingga kini.

“Ini kerana selepas PKP dan sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, anak saya yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih memaklumkan ada pelajar yang mengalami semula simptom seperti sebelum ini pada 24 Jun lalu.

“Ada pelajar pening kepala, muntah dan sebagainya. Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dengan sebuah jentera kemudian datang ke SMK Pasir Putih untuk meninjau keadaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara bahan kimia berkaitan dengan industri kilang yang didapati mencemari Sungai Kim Kim tahun lalu.
Antara bahan kimia berkaitan dengan industri kilang yang didapati mencemari Sungai Kim Kim tahun lalu.

Rafiah Bachok, 47, dari Taman Pasir Putih berkata, bau busuk kadang-kadang boleh dihidu pada sebelah pagi tetapi tidak sekuat dulu.

“Mungkin disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu di Pasir Gudang, segala pencemaran dan kotoran di Sungai Kim Kim dibawa arus masuk terus ke laut berdekatan Tanjung Langsat,” katanya.

Maslina Abdullah, 43, dari Taman Cendana percaya Sungai Kim Kim terus menjadi tempat buangan kerana bau tengik masih boleh dihidu berhampiran sungai dan kadang-kadang airnya kelabu dan serta berbuih-buih.

Pasir Gudang
Pasir Gudang

Dia yakin sisa kimia terus dibuang berkemungkinan di tempat terpencil kerana lokasi pembuangan terdahulu seperti di Kampung Paya dan Taman Pasir Putih kini diawasi penduduk setempat.

“Semasa pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini, anak kedua saya, Alisa Huda Mohd Fazli, 17, yang belajar di SMK Pasir Putih dimasukkan ke hospital kerana mengalami pening dan muntah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azalila A Samad, 46, meminta pihak berkuasa mengadakan sesi town hall setiap enam bulan sekali antara pihak berkuasa tempatan, pihak industri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk.

Keratan muka depan Sinar Harian pada 14 Mac 2019.
Keratan muka depan Sinar Harian pada 14 Mac 2019.