Suspek ditembak sebelum terbabas masuk sungai

A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat kes samun di Taman Hiburan, Jalan Penampang dua hari lepas, berjaya ditangkap selepas kenderaan dinaikinya terjunam ke dalam sungai di Kampung Sembulan, dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihak polis yang menjalankan siasatan dan memburu suspek, sebelum itu berjaya mengesannya di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu kira-kira jam 1.30 petang tadi.

"Ketika suspek memasuki keretanya, anggota polis menyerbu dan cuba menangkap suspek. Tetapi suspek yang sudah berada di dalam keretanya cuba melanggar anggota polis, menyebabkan anggota melepaskan beberapa tembakan di bahagian kanan hadapan kereta berkenaan.

"Suspek yang cedera terkena tembakan cuba melarikan diri sebelum keretanya hilang kawalan dan terjunam ke dalam Sungai Sembulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas kemalangan itu, suspek berusia yang berusia 28 tahun, masih cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas dan telah dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Habibi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan samun bersenjata.

Mengenai kejadian samun kira-kira jam 2 pagi 21 Januari lepas itu, beliau berkata, suspek telah memasuki rumah mangsa dan menyamun beg tangannya.

"Mangsa wanita berusia 30 tahun itu cuba melawan tetapi telah dipukul di kepala oleh suspek dengan menggunakan senjata tumpul sehingga cedera dan masih menerima rawatan," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia