Johor tidak wajibkan proses sanitasi di sekolah

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CU Rewards, Samantha Khor (dua dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Fat Full sambil diperhatikan Mazlan (kiri), hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CU Rewards, Samantha Khor (dua dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Fat Full sambil diperhatikan Mazlan (kiri), hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak pernah mengeluarkan arahan supaya sekolah-sekolah di negeri ini diwajibkan menjalani proses sanitasi bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Perpaduan, Perdagangan dan Pengguna Negeri Johor, Mazlan Bujang berkata, ini kerana proses sanitasi menelan kos yang agak mahal.

"Jadi sekolah-sekolah tidak perlu terlalu panik. Bukan semua sekolah semestinya kena buat proses sanitasi. Kalau kita rasa curiga atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ada duit lebih bolehlah lakukan.

"Begitu juga kalau ada kes Covid-19 telah berlaku (di sekolah), barulah ambil tindakan tetapi jika tidak berlaku wabak tersebut perkara berkenaan (proses sanitasi) bukan perkara wajib," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jom! Cegah Covid-19 di tempat letak kereta, Taman Mount Austin di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perpaduan, Perdagangan dan Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full serta Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Dr Kevy Kv Yeo.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, pihak pengurusan sekolah boleh menggunakan sabun biasa selain mengamalkan norma baharu di sekolah.

"Pelajar boleh cuci tangan semasa di sekolah dengan menggunakan cecair nyah kuman dan menggunakan kain untuk mengelap meja sebagai langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ibu bapa juga penting dalam hal ini," katanya.

Beliau dimaklumkan persatuan PIBG seluruh Johor bahawa pihak swasta boleh menyumbang RM500 sebagai tanggungjawab sosial (CSR) mereka untuk proses sanitasi di sekolah-sekolah.